Nasionalpilihan

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu sah sertai Bersatu

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahlijawatankuasa Penerangan Bersatu, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengesahkan perkara tersebut apabila Mohamad Ali telah mendaftar menjadi ahli parti itu pada 12 April lalu.

Tegasnya, kekuatan Bersatu di Tangga Batu dijangka lebih kukuh dengan kemasukan Mohamad Ali kerana beliau dapat membantu memperkukuhkan jentera parti dan meramaikan keahlian parti itu nanti.

Jelasnya lagi, lebih ramai ahli dan tokoh-tokoh pemimpin UMNO di negeri ini dijangka mengikut jejak langkah bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara itu kerana mereka melihat perjuangan UMNO sudah jauh terpesong sejak menyertai
Kerajaan Perpaduan.

“Saya nak ucap tahniah dan mengalu-alukan kehadiran beliau (Mohamad Ali) kerana menyertai Bersatu. Kita beruntung dengan kehadirannya berdasarkan pengalamannya sewaktu menjadi Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Dengan penghijrahan beliau ia akan merangsang lebih ramai ahli dan pemimpin UMNO di Melaka yang lain yang tidak selari dengan kepimpinan UMNO yang ada sekarang untuk menyertai Bersatu.

“Ada ramai ahli akar umbi UMNO yang tidak menjadi ahli Bersatu tetapi mereka tetap menyokong perjuangan kita di Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiga hari lalu sebuah akhbar melaporkan Mohamad Ali menafikan khabar angin yang beliau bakal menyertai Bersatu dan menegaskan masih menjadi ahli UMNO.

Bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara menafikan perkara tersebut susulan gambar beliau bersama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman dan bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman hadir ketika
ziarah Hari Raya Aidilfitri dikediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Spekulasi itu kedengaran sejak beberapa hari lalu susulan sekeping gambar dikongsikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub bersama Muhyiddin.

Mengulas lanjut Rahim berkata, Mohamad Ali dijangka membuka lebih 20 cawangan Bersatu di Tangga Batu dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Cuma setakat ini beliau belum diberi sebarang jawatan tertentu tetapi akan bekerjasama dengan Ketua Bahagian Bersatu di Tangga Batu, Ramlan Meon bagi memperkukuhkan kekuatan parti ini,” ujarnya. -SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button