Nasionalpilihan

Pengusaha dobi didakwa seleweng RM3.24 juta

Seorang pengusaha dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan mesin dobi serta wang tunai berjumlah RM3.24 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Terrence Conrad Fernandez, 43, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh sebagai individu diamanahkan dengan harta iaitu sejumlah mesin dobi milik Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. dianggarkan bernilai RM3,222,089.01, yang secara tidak jujur menggunakan harta tersebut.

Perbuatan itu melanggar kontrak iaitu tidak menghantar mesin-mesin berkenaan ke sebuah premis disewa syarikat terbabit di Pulau Pinang, sebaliknya meletakkannya di sebuah premis yang disewa tertuduh sendiri di Kuantan, Pahang.

Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh berada di Kilang Eurostar Tractorss (M) Sdn. Bhd. di Lot PT Jalan PK 8 Kawasan Perindustrian Krubong di sini pada Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan wang RM24,000 milik syarikat yang sama.

Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Bank Hong Leong milik tertuduh dan sepatutnya digunakan untuk pembayaran sewa premis di Pulau Pinang.

Perbuatan itu dilakukan di Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. di Unit 1002, Level 10 Blok A Kelana Centrepoint, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Januari 2019.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM50,000 sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Beliau juga memohon agar syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan sekali dalam sebulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam, James S. Thanjong Tuan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya mengusahakan kedai dobi dengan pendapatan bulanan kira-kira RM4,000 selain perlu menanggung isteri serta dua anak.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dan bersetuju dengan semua syarat pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – SM

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button