MahkamahNasional

Rayuan saman Apandi terhadap Kit Siang didengar 8 Ogos

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 8 Ogos depan untuk mendengar rayuan bekas peguam negara, Tan Sri Apandi Ali berhubung keputusan mahkamah yang menolak saman fitnahnya terhadap Tan Sri Lim Kit Siang berhubung kenyataan media veteran DAP itu pada 2019.

Peguam Lim, Simranjit Kaur berkata, tarikh pendengaran itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Ahmad Fairuz Puzi.

Beliau juga berkata, peguam Apandi, M Visvanathan telah memohon supaya rayuan itu didengar dalam mahkamah terbuka.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kenyataan Lim yang terkandung dalam artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” bukan satu fitnah.

Mahkamah juga memerintahkan kos RM80,000 dibayar kepada Lim.

Dalam keputusannya, Hakim Azimah Omar yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi berkata, Lim telah membuktikan pembelaannya atas komen yang adil dan berjaya mewajarkan keistimewaan yang layak dimilikinya.

“Umum mengetahui bahawa gesaan untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB telah dibuat melalui saluran yang sepatutnya selama bertahun-tahun.

“Pasukan petugas yang melibatkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Polis dan Jabatan Peguam Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat dan membuat syor yang sesuai mengenai 1MDB.

“Ternyata aduan ini (mengenai salah laku) kepada saluran yang betul telah diterima oleh telinga, sehingga kejatuhan Barisan Nasional,” katanya.

Azimah menegaskan bahawa Lim wajar mempersoalkan keengganan Apandi untuk mengambil tindakan dalam perkara 1MDB.

“Sememangnya tindakan plaintif (Apandi) dan tidak bertindak seolah-olah telah membantu 1MDB dan mereka yang terlibat.

“Defendan (Lim) mempunyai bukti kukuh untuk mewajarkan kenyataannya dan keterangan itu memberi alasan yang munasabah untuk menyiasat plaintif kerana menyembunyikan isu 1MDB,” katanya.

Apandi memfailkan samannya terhadap Lim pada Julai 2019 mendakwa bahawa kenyataan Lim menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tidak berintegriti dan telah mengamalkan pilih kasih semasa memegang jawatan peguam negara.

Apandi adalah peguam negara dari 2015 hingga 2018. – SUMBER FMT – SM

BACA Kes Saman Apandi Ali Terhadap Tun M Diselesaikan Secara Baik

 

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button