Nasionalpilihan

Waris Allahyarham jurulatih penerbangan terima bantuan PERKESO

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menyampaikan bantuan faedah PERKESO kepada waris Allahyarham Fajim Juffa bin Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu, di kediaman mereka di Semenyih, hari ini.

PERKESO yang diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed turut menziarah dan menyantuni waris kepada Allahyarham iaitu balu, Hayati binti Nawi, 50 tahun, dan seorang anak perempuannya yang masih bersekolah, Fatini Nadia Qistina, 17 tahun.

Dato’ Sri Dr Mohammed Azman telah menyampaikan bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada kedua waris. Allahyarham turut meninggalkan dua (2) lagi anak perempuan, Farah Hani Filzah, 25 tahun, ahli perniagaan dan Farisah Natasha, 23 tahun, pensyarah kolej.

Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed menyampaikan bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Farah Hani Filzah. Foto: BKK PERKESO

Pemprosesan faedah telah dibuat dengan kadar segera, sejurus Skuad PERKESO Prihatin mengetahui berita kemalangan tersebut menerusi laporan media tempatan. Langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman Allahyarham Fajim dan hasil semakan mendapati arwah menerusi warisnya layak menerima faedah PERKESO.

Memandangkan kemalangan berlaku semasa arwah sedang menjalani latihan penerbangan malam, maka pemprosesan faedah dibuat menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (untuk seumur hidup) dan anaknya (sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama).

PERKESO juga komited untuk memastikan kesinambungan bantuan dapat terus disalurkan kepada keluarga Allahyarham Fajim, menerusi pelbagai program dan inisiatif yang disediakan oleh PERKESO ataupun agensi-agensi lain menerusi Program Sinergi Sosial.

Anak-anak Allahyarham Fajim Juffa bin Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu, (dari kiri) Farah Hani Filzah, Farisah Natasha dan Fatini Nadia Qistina. Foto: BKK PERKESO

Dalam kejadian malang pada malam Sabtu lalu, pesawat ringan yang dinaiki Allahyarham Juffa dan pelatihnya dilaporkan hilang kawalan dan terhempas di Medan Gopeng, Ipoh. Maklumat awal mengenal pasti Allahyarham sebagai seorang jurulatih penerbangan di Bats Aviation Sdn Bhd sejak Februari 2020 hingga sekarang. Allahyarham juga merupakan pesara tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan menyandang jawatan Leftenan Kolonel.

FOT merupakan salah satu daripada faedah yang ditawarkan menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta 4. Faedah ini dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

FPM pula adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berkala.

Adalah menjadi harapan PERKESO agar bantuan faedah ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada waris dan keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan. – SM

Artikel berkaitan > Pesawat Piper 28-161 terhempas Ipoh, ragut nyawa jurulatih berusia 52 tahun

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button