Berita

Rakyat wajar pilih PN yang bebas rasuah – Abdul Aziz

MUAR 28 Februari – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Abdul Aziz Talib berkata, hanya PN mampu mengubah nasib rakyat di Johor.

Menurut bekas guru itu, PN tidak mengamalkan rasuah malah mempunyai peneraju berwibawa iaitu Presiden PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersih daripada kluster mahkamah.

Beliau yang memiliki Diploma Perguruan daripada Maktab Mohd. Khalid Johor Bahru menegaskan pengundi khususnya di DUN Maharani harus melihat kepimpinan Muhyiddin untuk PN membawa perubahan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“Kalau rakyat ingin berubah tanpa pemimpin dibelenggu rasuah hanya PN sahaja telah membuktikannya kita berintegriti.

“Justeru, rakyat dan golongan remaja harus melihat hanya PN sahaja mampu mengubah hidup mereka,” ujar ketika ditemui di Jeti Nelayan Parit Unas dekat sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Dipertua Pas Muar berdepan saingan enam penjuru.

Turut bertanding ialah Hanis Asmui dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), Noor Farah Shamsuddin (BN), Riad Ahmad (Pejuang), Nor Hayati Bachok (PH) dan Lim Kim Joo (Bebas).

Menurut anak jati Parit Amal itu, beliau yakin peluangnya untuk menang kali ini adalah cerah walaupun pernah tewas sewaktu bertanding Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengalaman itu kata Abdul Aziz banyak memberi pengajaran kepadanya apabila kali ini diberi kepercayaan bertanding di DUN Maharani.

“Penduduk rata-rata sudah mengenali saya dan mereka tahu gerak kerja saya membantu rakyat sejak dahulu hingga kini,” ujarnya.

Justeru beliau meminta pengundi memberi kepercayaan kepada beliau dan memastikan PN menang bagi membentuk kerajaan negeri serta mengubah kehidupan penduduk di sini.

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button