BeritaPendidikan

Kerajaan peruntuk dana loker untuk pelajar sekolah rendah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan menyediakan loker di sekolah rendah, dengan kos RM37.3 juta, bagi menangani masalah pelajar sekolah membawa beg sekolah yang berat.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata fasa pertama akan melibatkan Tahun Satu, Dua dan Tiga di sekolah yang beroperasi dalam dua sesi. Seramai 323,186 murid dalam 10,662 kelas akan mendapat manfaat.

Fasa kedua, dijangka bermula tahun depan, akan melibatkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah yang beroperasi dalam dua sesi.

Murid di sekolah satu sesi akan menyimpan buku mereka di dalam laci meja di bilik darjah mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, sekolah akan mempunyai jadual waktu dengan tiga hingga empat mata pelajaran setiap hari, dan mereka juga akan mempunyai fleksibiliti untuk menyediakan jadual waktu mengikut sistem giliran mingguan.

Radzi berkata buku latihan juga akan dihadkan kepada dua mata pelajaran, dengan setiap satu tidak melebihi 80 muka surat.

Selain itu, murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh kementerian manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan.

Kementerian juga akan terus menghasilkan buku teks baharu dalam format digital. Setakat ini, sebanyak 692 judul telah diterbitkan.

Radzi berkata kementerian juga sedang berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk memberi kelonggaran kepada pelajar memakai pakaian sekolah semasa sesi persekolahan Kafa (Quran dan Fardu Ain).

 

(Visited 1,207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button