NasionalNegeri

Raja Muda, Raja Puan Muda terima sembah perpisahan Pengarah Kesihatan yang bertukar

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr. Sirajuddin Hashim dan isteri di Istana Arau pada petang semalam.

Dr. Sirajuddin akan bertukar atas sebab kenaikan pangkat ke jawatan baharu sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Ipoh yang berkuatkuasa pada 25 Julai 2022 ini.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada beliau atas segala khidmat bakti yang dicurahkan kepada negeri Perlis dan rakyat yang baginda berdua kasihi khususnya ketika terpaksa mengharungi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020.

Sesungguhnya segala sumbangan Dr. Sirajuddin itu amatlah baginda berdua hargai dan semoga beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta semoga terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu.


Sepanjang tempoh dari 7 Ogos 2018 sehingga 22 Julai 2022 di Perlis, antara kejayaan utama dicapai oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di bawah perkhidmatan beliau adalah ‘Penarafan Bintang KPI HRMIS Kecemerlangan 100 peratus Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 2019 – 2021’ dan Juara pertandingan ‘Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, 2018 dan 2019’.

Dalam tahun 2019 JKN Perlis mendapat ‘Tempat Pertama Pertandingan Video Pendek Hari Keselamatan Makanan Sedunia’ dan pada tahun 2020 pula memenangi “Anugerah Utama dalam [email protected] Challenge 2019 ( PERKESO & BookDoc) – Kategori Kerajaan” serta “Tempat Pertama Anugerah Pencapaian Terbaik Kategori Klinik Kesihatan dengan Bilangan Saringan Kesihatan PeKa B40 bagi tahun 2019-2020”.

Pada tahun lalu iaitu 2021, JKN Perlis muncul ‘Johan Inovasi Penciptaan, Kategori Penyampaian Perkhidmatan, Konvensyen KIK, KKM’. – SM

(Visited 948 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button