Nasional

Raja Muda Perlis seru rakyat gembleng tenaga kekang Covid-19

Rakyat Perlis perlu terus berganding bahu melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan untuk mengekang risiko penularan COVID-19 semasa di negeri ini.

Demi kemaslahatan rakyat, individu dari ‘Zon Merah’ yang “mendapat kebenaran” untuk pulang ke negeri Perlis amatlah digalakkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum kepulangan ke negeri ini bagi mengetahui status kesihatan masing-masing. Langkah ini sedikit sebanyak dapat menghilangkan keresahan ahli keluarga lain di Perlis yang akan menerima kepulangan orang tersayang ini. Perkara yang sama juga diharapkan daripada mereka yang akan memulakan perjalanan ke Perlis untuk tujuan kerja, pendidikan, perniagaan dan lain-lain lagi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Agihan Sumbangan Kerjasama CSR Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan IKHLAS di Surau Pangsapuri Terinai Wang Ulu Kangar pada petang tadi.

Hadir menyambut baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

IKHLAS bermurah hati menghulurkan bantuan sebanyak 200 pek makanan asas melalui MAIPs yang diagihkan kepada warga asnaf yang memerlukan di negeri ini.


Selain diedarkan secara langsung di beberapa buah pangsapuri perumahan rakyat, sumbangan berkenaan turut disalurkan melalui bantuan pusat agihan makanan “Perlis Volunteer Action Community (PVAC) – Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis”.

IKHLAS adalah satu cabang perniagaan baru di bawah Air Asia, bertujuan untuk menyokong komuniti Muslim di seluruh dunia dengan memberikan akses yang tiada tandingannya kepada praktik-praktik berasaskan kepercayaan. Ini termasuk ibadah umrah, korban dan pilihan gaya hidup yang patuh syariah.

Tuanku Raja Muda turut berkongsi maklumat bahawa baginda dipersembahmaklumkan terdapat peningkatan kes COVID-19 di negeri Perlis disebabkan aktiviti rentas negeri samada yang mendapat kebenaran ataupun lebih teruk lagi yang melibatkan mereka yang rentas negeri tanpa kebenaran. Daripada pelaporan kes COVID-19 negeri Perlis, 38% adalah merupakan import B yang mana hampir keseluruhan pulang dari kawasan ‘Zon Merah. Malah, 53% daripada kes tempatan negeri Perlis dinyatakan adalah berpunca samada melalui kontak rapat kepada kes import tersebut, individu yang pulang ke Perlis dari ‘Zon Merah’ dan juga kontak rapat kepada mereka yang telah dijangkiti ini.

(Visited 74 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button