NasionalNegeri

Raja Muda Perlis lawat pos operasi Op PASIR di pantai timur Sabah

RAJA Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melaksanakan lawatan ke beberapa buah pos keselamatan negara di kawasan tanggungjawab operasi Op PASIR Utara Sektor Bravo Siri 1/2023 di sekitar perairan Pantai Timur, Sabah baru-baru ini.

Keberangkatan baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia ke Pulau Berhala dan Pulau Bakungan Kecil disambut oleh Pegawai Memerintah 23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) iaitu Leftenan Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah di Pulau Berhala dan Ketua Penempatan Pos Pulau Bakungan Kecil oleh Kapten Muhd Farith Ibrahim.

Demikian menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang mana lawatan ini dikenali sebagai Eksesais PERBAH iaitu merupakan singkatan kepada perkataan Negeri Perlis dan Sabah.

Mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Panglima 5 Divisyen TDM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee Shoib; Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Johari Ismail; dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin.

Baginda turut meluangkan masa singgah melawat dan beramah mesra dengan para pegawai dan anggota lain-lain pangkat Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu elemen tempur Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Pulau Libaran dan Pulau Pamaguan bagi menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan yang menjalankan operasi di situ.

Ketika di Markas Operasi Pulau Berhala, Raja Muda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada rakan-rakan strategik yayasan berkenaan dalam kalangan para peserta yang mengiringi Baginda kepada surau kem tersebut.

Antara yang disumbangkan adalah berupa satu unit TV 55 inci daripada Yayasan Kebajikan Perlis oleh Affendi Rajini Khan dan satu unit TV 45 inci iaitu sumbangan peribadi Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad; beg-beg sekolah bagi kanak-kanak tadika daripada SWCorp oleh Shamsuharizal Basir; serta RM2,000 daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah di keempat-empat buah pulau yang dikunjungi tersebut. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button