NegeriPolitik

GPS sokong Ismail Sabri jadi Perdana Menteri

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) secara terbuka memaklumkan mereka akan menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dinamakan sebagai calon perdana menteri oleh Barisan Nasional (BN).

GPS mempunyai 18 Ahli Parlimen dan menjadi rakan kerjasama utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abudllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita telah bersetuju secara prinsipnya untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tetapi akuan berkanun (SD) kami hanya akan dihantar selepas mesyuarat GPS tengah hari ini,” kata Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga seorang anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Untuk rekod, PBB adalah komponen utama dalam GPS.

Menurut Wan Junaidi, Ismail Sabri adalah veteran dan pemimpin berpengalaman yang disukai ramai serta mempunyai banyak pengalaman dalam menguruskan Covid-19 sejak 17 bulan lalu.

Beliau berkata, walaupun terdapat banyak pendapat mengenai cara negara menguruskan krisis Covid-19 namun semua pandangan itu adalah daripada orang luar “tanpa mempunyai pengetahuan sebenar terhadap percanggahan mengenai permintaan dari dalam”.

“Ismail Sabri, seperti juga yang lain dalam Kabinet PN, telah melihatnya dan menghargai (kesulitan),” kata Wan Junaidi, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta semua Ahli Parlimen membuat SD untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada calon perdana menteri dan ia perlu dihantar menjelang pukul 4 petang nanti.

Malam tadi, Ahli Parlimen daripada BN sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri. Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak (UMNO), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Kata Tajuddin, Ismail Sabri memperoleh majoriti sokongan yang melepasi angka 111.

“Ini dengan sokongan PAS dan Bersatu,” kata Tajuddin seperti mana yang dilaporkan oleh FMT. – SM

(Visited 725 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button