fbpx
Berita

Raja Muda Perlis hadiri The 2nd Shanghai International Ball 2019

Shanghai, China – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diundang berangkat menghadiri ‘The 2nd Shanghai International Ball 2019’ yang diadakan di hotel Waldorf Astoria Shanghai On The Bund, di negara China pada malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke salah satu jamuan makan malam gala berprestij yang menghimpunkan tokoh-tokoh tempatan dari pelbagai latarbelakang yang dianjurkan oleh Camelliae Group itu disambut oleh Pengerusinya, Tina Fan dan Ketua Pegawai Operasi kumpulan berkenaan, James Gong.

Berangkat sama ke majlis yang turut mendapat kerjasama hotel Waldorf Astoria Shanghai On The Bund dan ASEAN People’s Association Los Angeles itu  ialah anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Alibaba dan pengasas Jiayu Funds, Wei Zhe.

Di majlis tersebut Tuanku Raja Muda Perlis telah dipersembahkan plaka khas daripada Tina Fan yang mewakili pihak penganjur. Bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron merupakan tetamu utama dimajlis yang sama pada tahun lalu.

Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Raja Muda Perlis mengalu-alukan semua yang hadir untuk beramai-ramai datang ke Malaysia pada tahun hadapan mengambil sempena kempen ‘Tahun Melawat Malaysia 2020’. Baginda yakin setiap yang datang ke negara ini jarang sekali akan menyesal kerana mereka akan dapat melalui pelbagai pengalaman istimewa mengunjungi hutan-hutan tropika, pulau-pulau dan pantai-pantai, membeli belah serta percutian mewah yang baik dengan kadar yang cukup ‘value for money’.

Pada masa yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengundang mereka samada untuk melancong atau meninjau potensi pelaburan di negeri Perlis. Mereka juga boleh menghantar anak-anak atau pelajar di bawah tajaan organisasi masing-masing ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Negeri yang ‘Permai Lagi Mempesona’ dengan rakyat Perlis yang peramah tersebut memiliki lokasi yang strategik berjiranan dengan negara Thailand dan terletak di tengah-tengah antara dua lokasi pelancongan terkenal negara iaitu dua jam perjalanan menaiki kereta dari Pulau Pinang dan lebih kurang sejam menaiki feri ke Langkawi.

Baginda turut memaklumkan bahawa beberapa lokasi utama telah dirancangkan untuk sektor pelaburan di negeri Perlis termasuklah ibunegerinya iaitu Kangar bagi ‘Kemudahan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu’ dan ‘Pusat Pentadbiran Kerajaan’, Padang Besar untuk ‘Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA)’ dan ‘Perlabuhan Darat Perlis (PIP)’, Kuala Perlis sebagai ‘Bandar Maritim’ serta ‘Jeti Bersepadu’ di Kuala Sanglang Perlis.

Hadir sama mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Hew Tse Hou, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Datuk Rashidi Hasbullah serta Presiden dan Pengasas ASEAN People’s Association Los Angeles merangkap Pengarah Urusan Singpoli Asia, Datuk Nellsen Young.

Para hadirin turut ditayangkan video promosi bagi memperkenalkan ‘Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020’ yang akan dipertandingkan di negeri Perlis dari 24-30JUL 2020 dan dijangka mengamit lebih 3,000 peserta dan pegawai bersempena sambutan 20 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis pada tahun hadapan dan salah satu aktiviti utama sebelum penganjuran ‘Tahun Melawat Perlis 2021’ pada tahun berikutnya.

Show More

Related Articles

Back to top button