PRK
Trending

Rahsia peribadi pemimpin UMNO dalam tangan Shafie, tapi…

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal boleh sahaja menyerang peribadi pemimpin-pemimpin pembangkang daripada UMNO sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis tetapi menolaknya kerana melanggar prinsip hidupnya memburuk-burukkan orang lain.

Bercakap kepada Suara Merdeka hari ini, kata beliau, lagipun perbuatan sedemikian adalah petanda mereka yang kehabisan modal seperti mana pembangkang cuba merosakkan imejnya selaku ketua menteri dalam isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Saya kalau hendak bangkitkan isu peribadi…boleh, tapi saya tak mahu.

“Kalau saya nak attack (serang) presiden (UMNO), timbalan (presiden UMNO) dan pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar (Radin), Anifah (bekas ahli parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman)…boleh saja…saya kenal (peribadi) mereka…tapi saya tak mahu cerita.

“Asalkan tak menjejaskan perkhidmatan mereka kepada rakyat, itu jadi keutamaan saya,” kata beliau ditemui di Kampung Binsulok, Membakut ketika berkempen untuk memenangkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang menentang BN dalam PRK berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie sekali lagi memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan diteruskan menggunakan pendekatan dan formula baharu.

Katanya, struktur baharu bagi mengurus pembinaan lebuh raya bernilai berbilion ringgit itu akan mengurangkan kos pelaksanaan projek.

“Projek masih diteruskan tetapi kita mahu menjimatkan wang. Kerajaan membelanjakan RM26 juta ketika projek itu diurus rakan penyampai projek (PDP).

“Sehingga kini, kita membelanjakan RM900 juta untuk pampasan tanah tetapi jalannya belum kelihatan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut berkempen untuk BN di Kimanis mendakwa projek lebuh raya berkenaan terbengkalai berikutan pembatalan PDP.

Najib turut mendakwa keputusan itu menyebabkan Kimanis berdepan masalah perhubungan dan kurang kemajuan.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Pan Borneo akan diurus badan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri dan merangkumi wakil daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Kerja Raya negeri dan persekutuan.

Katanya, keputusan membatalkan PDP juga berdasarkan pertimbangan syarikat perunding dimiliki ahli parti politik.

Kerajaan negeri Sabah dijangka dapat menjimatkan lebih RM1 bilion selepas Kerajaan Persekutuan menghentikan syarikat PDP.

– SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button