Jenayah

Polis tumpaskan sindiket dadah didalangi warga asing

Satu sindiket pengedaran dadah rentas negara didalangi warga asing di pesisir Pantai Klebang dekat sini berjaya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil maklumat orang awam sebuah bot berjaya ditahan dalam keadaan mencurigakan dalam serbuan pada 28 Jun lalu.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Marin Wilayah 2 berjaya menahan tiga suspek yang disyaki mengedar dadah melalui jalan laut.

“Tiga suspek lelaki berusia antara 27 hingga 33 tahun yang berada dalam bot tersebut berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan polis menemui dadah disyaki jenis syabu dengan berat keseluruhan 40.76 kilogram dianggarkan bernilai RM1,345,080,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran di Indonesia.

Selain itu katanya, tiga suspek warga asing yang ditahan pula didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 29 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Sesyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button