Jenayah

Polis cekup wanita larikan jongkong emas bernilai RM29,000

Polis berjaya menangkap seorang wanita selepas lapan hari dia melarikan satu jongkong emas bernilai RM29,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Kampung Jawa dekat sini pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, wanita berusia 25 tahun dan tidak bekerja itu ditahan sepasukan polis dari cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 6.45 petang semalam di sebuah rumah di Taman Malim Jaya, di sini.

Menurutnya, wanita yang dikenali sebagai Ming Ming ditahan di rumah sewanya dan polis turut menemukan kembali jongkong emas yang dilarikan suspek.

“Polis menemukan sebuah botol tertera tulisan SWISSE dan didalamnya mengandungi satu plastik lutsinar mengandungi sebuah gold bar warna kuning bertulis Suisse 100g 999.9,” ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku melarikan jongkong emas dan satu kes jenayah di Tengkera yang sedang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, kerana mencuri wang di sebuah restoran.

Beliau berkata, suspek merancang ingin menjual jongkong emas itu selepas dibuang kerja sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Christopher berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang 30 Oktober lalu, suspek pergi ke sebuah kedai emas di Jalan Kampung Jawa lalu meminta kepada seorang pengurus kedai itu ingin melihat satu gold bar 999 seberat 100 gram.

Katanya, tidak sampai tiga minit jongkong emas itu dikeluarkan daripada almari kaca itu, suspek terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan Livina berwarna kelabu.

“Pengurus kedai itu cuba mengejar kereta dinaiki suspek bersama dua lagi individu tidak dikenali namun gagal,” ujarnya. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button