Nasional

Pemulih: Bukti kerajaan komited ringankan beban rakyat

PAKEJ Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini adalah bukti kerajaan komited untuk ringankan beban rakyat.

Ketua-Ketua Penerangan Parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan bersama berkata, jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan PN menyokong pengumuman itu.

Katanya mereka, jentera semua parti-parti yang mereka wakili akan memainkan peranan memastikan mesej penting mengenai pakej bantuan kerajaan akan sampai ke akar umbi.

“Kami juga menyeru seluruh lapisan rakyat segera mengambil manfaat daripada setiap insentif yang disediakan.

“Antara insentif yang disediakan adalah moratorium tanpa syarat kepada semua peminjam individu. Tawaran ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak bank bagi meringankan bebanan rakyat yang terjejas pendapatan. Namun dinasihatkan agar peminjam tidak menambah komitmen kewangan lain jika tidak terdesak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan,  Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan,
Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai; Ketua Penerangan,Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin; Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Khoo Shiaw Lee; Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan; Pengerusi Biro PeneranganMCA, Chan Quin Er; Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Khairin Bador; Setiausaha Penganjur Kebangsaan Parti Demokratik Progresif (PDP), Yong Li Na; Ketua Penerangan
Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki; Ketua Penerangan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang; Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak, Datuk Wilfred Nissom dan Setiausaha Penerangan dan Publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Adam Yii.

Menurut mereka, selain itu, golongan yang terjejas boleh memanfaatkan program Bantuan Bakul Makanan yang diperuntukkan kepada semua Ahli Parlimen. Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, Kerajaan PN mengambil sikap untuk mengenepikan perbezaan politik dan memberikan peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira sikap mereka terhadap kerajaan.

Rakyat perlu mendapatkan maklumat mengenai pakej bantuan ini daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen masing-masing.

“Kami menyeru pemimpin di semua peringkat, agensi-agensi berkaitan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak-pihak bertanggungjawab agar sama-sama memastikan maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi daripada kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

“Kami akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjayakan Pelan Pemulihan Negara dengan memperkasakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19.

“Kami menyeru kita semua bersama-sama dalam memerangi kesan daripada wabak Covid-19. Jika kita bekerja bersama, kita akan menang bersama. Lindung diri, lindung semua,” kata mereka.

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button