Politik

PKR Johor seru pemimpin, ahli terus sokong Anwar

PKR Johor menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan prinsip yang diperjuangkan

Pengerusi MPN Keadilan Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, mereka perlu memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan.

“Kami menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14.

“Lawan tetap lawan! Lawan sampai menang!” kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan.


Menurutnya, PKR Johor akan terus kekal menyokong kepimpinan Anwar sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan,

Anwar menurutnya, sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini.

Syed Ibrahim berkata, keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan Anwar jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

PKR Johor yakin ciri-ciri yang dimiliki Anwar penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Dengan keadaan rakyat yang susah sekarang tanpa sara hidup, pendapatan yang tetap serta ekonomi yang tidak menentu maka lebih-lebih lagi agenda tersebut wajib dikukuhkan.

“Kami mendoakan moga kesihatan rakyat terus terjaga tanpa diabaikan dengan kekusutan politik dan negara dapat bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan yang betul,” katanya.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk dalam Pakatan Harapan mula mempersoalkan kepimpinan Anwar selepas Presiden PKR itu gagal sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri.

Selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, PH berharap Anwar akan mengantikan tempat yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.

Anwar yang terkenal dengan ungkapan ‘i have numbers’ yang menonjolkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk dipilih sebagai perdana menteri bagaimanapun gagal dalam percubaan terkininya itu.-SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button