Nasional

Siasatan isu kartel ayam dibentang hasil Isnin depan

ISNIN depan, pasukan khas yang ditubuhkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan perlakuan antipersaingan dalam industri ayam negara akan dibentangkan hasil siasatannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pasukan khas berkenaan akan mengemukakan dapatannya kepada anggota suruhanjaya itu yang bertindak sebagai badan separa kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Pagi tadi saya difahamkan oleh pihak MyCC (yang) mereka telah selesai (menyiasat) dan akan kemukakan hasil siasatan,” katanya selepas menyertai Op Anti-Sorok bersama pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah pasar raya, hari ini.

MyCC menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lalu untuk menyiasat dakwaan terdapatnya perlakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga barangan dalam pasaran industri ayam.Ads by

Pasukan khas MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh negara daripada peringkat huluan hingga hiliran.


Berhubung Op Anti-Sorok, Nanta berkata, ia dilaksanakan bagi membanteras aktiviti menyorok barang kawalan susulan pengumuman kerajaan untuk mengapungkan harga barang seperti ayam, telur ayam dan minyak masak berbotol berkuat kuasa 1 Julai ini.

Katanya, operasi itu juga adalah langkah untuk memastikan pemain industri dan peniaga barangan kawalan sentiasa cakna akan tanggungjawab mereka dalam menjamin bekalan mencukupi di pasaran dan tidak melakukan penyelewengan.

“Sejak Januari hingga 22 Jun tahun ini, sebanyak 158,064 pemeriksaan telah dijalankan merangkumi peruncit, pemborong dan pengilang terpilih dan mendapati bekalan barang kawalan mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam memaklumkan, terdapat 13 aduan sorok barang kawalan diterima oleh kementerian itu sejak awal tahun ini, namun selepas siasatan dijalankan, tiada bukti kesalahan ditemui. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button