Politik

Pemimpin UMNO perlu ikut saluran betul kritik Perdana Menteri – Mahdzir Khalid

SEBARANG kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh pimpinan UMNO seharusnya dibuat mengikut saluran yang betul.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Perdana Menteri secara terbuka adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dan sekarang ketua bahagian, dia (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, carilah saluran yang ada dalam parti.

“Saya rasa sedih, sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan tak payah ada komen seumpama itu.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) di Changkat Jong, di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengulas kritikan terbuka Nur Jazlan yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari UMNO yang paling lemah dalam sejarah.

Beliau menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan kenyataan Nur Jazlan itu juga tidak menggambarkan UMNO berada dalam keadaan berpecah.

Sebaliknya parti itu kata Mahdzir, berada dalam solidariti yang baik dan kukuh.

Tambahnya, adalah lebih baik bagi seseorang pemimpin UMNO untuk berdiam diri dan tidak membuat sebarang kritikan secara terbuka yang boleh menimbulkan polemik.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan Nur Jazlan mengkritik tindakan Ismail Sabri yang lewat membuat keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.

Ia berikutan tindakan Zuraida mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button