Nasional

Permohonan undi pos DUN Bugaya dibuka hari ini – SPR

Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dibuka bermula hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata tarikh tutup permohonan akan diumumkan selepas mesyuarat khas urusan PRK DUN N66 Bugaya pada 20 Oktober.

“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan bagi bahagian pilihan raya berkenaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Oktober lalu.

Perintah pembatalan itu dinamakan sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.


Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan DUN N.66 Bugaya, Sabah.

Ikmalrudin berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.

“Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR. Bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1C (agensi/organisasi) pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal berikut: https://myspr.spr.gov.my/login,” katanya. – BERNAMA

(Visited 27 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button