Negeri

Pergiat wanita libat dalam bidang pertanian – Raja Muda Perlis

Penglibatan golongan wanita dalam bidang pertanian perlu dipertingkatkan dan disokong oleh pendekatan-pendekatan yang bersifat “memudahcara” dan “meringankan”. Mereka yang telah berjaya, diseru untuk membantu rakan-rakan yang baru atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju.

Sesungguhnya bidang pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan yang mencabar dan sukar diadaptasi oleh golongan wanita. Namun, situasi ini tidak wajar untuk dijadikan batu penghalang bagi golongan wanita untuk menceburi bidang pertanian ini.

Kita perlu melihat kepada perspektif yang lebih meluas, yang mana golongan wanita boleh turut terlibat dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti aspek pengurusan, penggunaan teknologi pertanian serta industri hiliran. Dengan ini, golongan wanita tidak akan tercicir dalam anjakan sosio-ekonomi negara yang bertepatan dengan tema webinar bertajuk ”Agropreneur Wanita : Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara” yang terarah kepada aspek ‘keterangkuman’. Dalam erti kata lain, wanita turut bersama-sama memastikan jaminan sekuriti makanan negara.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan ”Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women In Search Of Excellemce (W.I.S.E.) Siri Ke-9 yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan YTF pada pagi tadi.

Tuanku Raja Muda juga percaya golongan wanita memainkan peranan yang amat signifikan dalam membantu memastikan kestabilan sosio-ekonomi negara menerusi spektrum agromakanan.


Sekalung penghargaan diucapkan baginda kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas penganjuran webinar ini serta ahli-ahli panel yang berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan mengenai tema yang menarik untuk dikupas tersebut.

Program sehari suntuk itu disusuli dengan ucaptama disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, Dato’ Haslina Abdul Hamid serta Sesi Plenari dikongsikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Dato’ Azulita Salim, dengan topik ‘Pengurusan Kepimpinan Dalam Bidang Agromakanan’ dan kemudiannya Sesi Forum 1 oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr. Akma Ngah Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Puan Rosilawati Hassan, serta Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Puan Linda Buang dengan topik ‘Program Pembangunan Wiratani Wanita dalam Bidang Agromakanan’.

Webinar tersebut ditutup oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF.

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button