Belang Bertempat

Pengajaran daripada Palestin, kesedaran untuk orang Melayu

UMAT Islam di seluruh dunia bangkit, merintih dan mengutuk kekejaman dan kezaliman zionis Israel yang kini digelar ISRAHELL.

Rintihan dan tangisan serta laungan yang mengutuk keras kekejaman tentera zionis Israel datang daripada seluruh pelusuk dunia.

Apa pun ia diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Menangis keluar air mata darah sekalipun, sukar untuk diubah kembali asal melainkan dengan pertolongan dan kekuasaan Allah SWT setelah segala usaha dilakukan.

Inilah perjuangan tentera Hamas, kata Presiden Parti Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali sambil menambah, semuga berlaku satu keajaiban seperti Perang Badar.

Ibrahim atau dikenali dengan panggilan Tok Him berkata, dalam keadaan kita orang Melayu beragama Islam komited dan bersolidariti dengan rakyat Palestin, amatlah penting dan wajib bagi kita menghayati dengan penuh keinsafan bagi memastikan apa yang terjadi di bumi Palestin, tidak berlaku di tanah air kita sendiri.

“Jika berlaku di Malaysia, orang Melayu pribumi akan hilang bumi di mana tempat berpijak dan tempat berteduh.

“Ya, Melayu tidak hilang di dunia tetapi Melayu boleh menjadi pelarian kerana kehilangan tempat asalnya.

“Inilah yang terjadi kepada rakyat Palestin yang bukan sahaja hilang tanah air dan harta benda malahan dihalau atau diusir keluar daripada bumi Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat Palestin hidup selama 75 tahun diseksa dengan kejam oleh rejim zionis Israel.

“Terbaharu, bom digugurkan di Gaza ibarat air hujan yang jatuh menimpa bumi dan menjadi satu pesta kepada tentera zionis yang mendapat sokongan daripada dajjal-dajjal Amerika Syarikat dan Eropah.

“Negara-negara Islam dan OIC sekadar mampu mengeluarkan kenyataan dan merayu-rayu umpama pengemis,” selar Tok Him dalam kenyataan yang sama.

Raja Raja Melayu zaman dahulu sebelum merdeka dan sebelum bersetuju menyerah kuasa kpd Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah dengan tegas dan jelas mengeluarkan PENGISYTIHARAN 7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU.

Salah satunya adalah mengenai Tanah Rezab Melayu, “Kami tinggalkan 50% Tanah Rezab Melayu…”, dan selebihnya, orang Melayu mesti berusaha menambah tanah bagi milik orang melayu. Jika Tanah Rezab Melayu di ambil atas sebab-sebab kepentingan awam, ianya MESTI di ganti dengan jumlah keluasan DAN nilai yg sama.

Ianya termaktub dalam Perlembagaan dan jika tidak diganti, ianya merupakan satu KESALAHAN JENAYAH.

Mengikut rekod, hakikatnya Tanah Rezab Melayu kini hanya tinggal 12% sahaja. PUTRA sudah berkali kali meluluskan usul mendesak Kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja(RCI) namun kerajaan memekakkan telinga bagi menentukan status sebenar Tanah Rizab Melayu dan jumlah sebenar yang tidak di ganti.

Hebatnya dan begitu prihatin serta berpandangan jauhnya Raja-raja Melayu pada masa itu sehinggakan Askar Melayu juga menjadi salah satu perkara di dalam wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.

Namun sayang, Askar Melayu semakin mengencil dan nama Askar Melayu juga semakin terhakis.

Pada 1948, berlakulah Deklarasi Balfour yang mengisytiharkan tertubuhnya negara haram Israel yang mendapat sokongan daripada Britain, Perancis, dan Amerika.

Malangnya, Deklarasi itu bukan sahaja tidak mendapat apa-apa persetujuan dari rakyat Palestin malah mereka langsung tidak merujuk atau berunding dengan rakyat Palestin pada masa itu.

Ianya seolah-olah negara Palestin ketika itu tidak ada sesiapa yang punya dan mereka bebas untuk memperlakukan apa sahaja dengan sesuka hati mereka.

Inilah dia akar umbi cara pemikiran penjajah Barat. Rakyat Palestin kehilangan tanah mereka sedikit demi sedikit kepada Zionis Israel.

Sehingga hari ini, rakyat Palestin menderita dan saban hari terus dibunuh oleh tentera-tentera Zionis Israel yang kejam, rakus dan tidak berperikemanusiaan.

Zionis Israel bertindak dengan secara terus menerus untuk memperluaskan kawasan negara Israel, dan juga menjadikan Baitulmuqadis sebagai sebahagian daripada ibu negara kepada negara haram mereka, Israel. Kedutaan Amerika di Tel Aviv juga berpindah ke Baitulmuqadis.

Sejarah peristiwa rakyat Palestin kehilangan negaranya dan menjadi mangsa kepada zionis Israel tidak banyak diketahui oleh anak-anak muda Malaysia.

Kita perlu tahu dan fahami sejarah dan pokok pangkal bagaimanakah rakyat Palestin boleh sampai kehilangan negaranya kepada zionis Israel dan bukan sekadar mengutuk kekejaman dan kezaliman zionis Israel seperti yang sedang berlaku di Gaza sekarang.

Tidak keterlaluan juga sekiranya PUTRA mencadangkan supaya diwujudkan sebuah mata pelajaran mengenai Masjid Al Aqsa Baitulmuqadis dan Palestin secara khusus di seluruh Sekolah Menengah Kebangsaan negara kita Malaysia.

Ia agar kisah sejarah dan perjuangan rakyat Palestin terus terpahat di naluri kita dan tidak mudah dilupakan pada masa hadapan.

KPM berserta Finas dan Filem Negara juga wajar menerbitkan filem-filem dokumentari mengenai sejarah Palestin di rampas zionis Israel dengan cara yang mudah untuk difahami.

PUTRA juga merancang untuk mengadakan usrah atau diskusi secara kecil-kecilan untuk semua ahli-ahli PUTRA untuk mengingatkan lagi kepada semua ahli PUTRA tentang betapa pentingnya untuk menyediakan payung sebelum hujan.

Laungan dan bertakbir mengutuk zionis Israel tidak memadai sekiranya apa yang berlaku di bumi Palestin tidak dihayati dan kita tidak memastikan peristiwa yang  sama tidak berlaku kepada orang melayu Pribumi Malaysia.

Temasek sudah hilang menjadi Singapura dan di bandar-bandar dan kawasan perniagaan semua sudah menjadi milik orang lain.

Jika terjadi perkara yang sama seperti di bumi Palestin, menangis keluar airmata darah sekali pun sudah tidak berguna lagi.

Satu lagi perkara yang kita sama-sama lihat ialah sudah ada beberapa perhimpunan atau demonstrasi yang diadakan oleh pelbagai pihak untuk mengutuk kekejaman zionis Israel.

Syabas diucapkan kepada semua penganjur dan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Semuanya dengan lantang telah bersuara SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN.

Tetapi nampak jelas penganjur-penganjur pula tidak bersolidariti di antara satu sama lain. Masing-masing mahu menonjolkan NGO atau kumpulan masing-masing.

Tidak ada kerjasama dengan lain-lain pihak yang tidak sehaluan. Jika ada tokoh-tokoh yang memberi sokongan yang bukan dari kumpulan mereka, nama-nama tokoh tersebut pun langsung tidak disebut.

Perkara ini berlaku kepada dua orang tokoh terkenal yang bukan sahaja telah hadir ke perhimpunan, malah tokoh-tokoh tersebut sanggup naik ke atas ‘pentas’ atau platform penganjur walaupun bukan dari kumpulan mereka sendiri demi untuk menguatkan lagi sokongan dan menunjukkan lagi solidariti.

Namun nama-nama mereka langsung tidak disebut. Ini bukanlah adab dan budaya kita. Dari situ kita sudah boleh nampak keikhlasan masing-masing. Ianya amat berbeza sekali dengan sejarah perjuangan pelajar dan belia pada era tahun 70-an dulu.

Keikhlasan di hati masing-masing terutama dari pihak penganjur haruslah sama dengan bibir mulut yg berkata-kata.

Allah tidak akan merahmati segala usaha kita jika kita bersifat riak, tidak jujur dan tidak ikhlas dengan niat matlamat, tetapi lebih kepada hanya untuk meraih publisiti dan mencari ‘political mileage’.

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita semoga ikhlas, jujur, dan tidak riak agar Allah akan merahmati apa sahaja usaha yg kita lakukan, Insya-Allah. – SM

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button