Agama

Selangor tarik balik tauliah mengajar agama untuk aktivis politik

SELANGOR menarik balik semua tauliah mengajar yang sebelum ini diberikan kepada aktivis politik di Selangor.

Menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) arahan yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2022 itu turut membabitkan individu yang terlibat aktif dalam politik juga tidak akan dikeluarkan lagi.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof berkata langkah itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan Islam dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak khususnya di masjid dan surau.

Tambahnya, selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut, Jawatankuasa Tauliah Mais akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan.

Katanya, mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Dis 2021.

“Bagi menjaga kesucian Islam di Selangor, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama.

“Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di negeri ini yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata exco agama Islam Selangor masih boleh menyampaikan pengajaran dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

“Pengecualian ini juga selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut,” katanya.

Tegas beliau, seseorang yang mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Jika disabit bersalah, katanya, seseorang itu boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai ketua agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua hukuman berkenaan,” katanya.-SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button