Luar Negara

Penduduk Vulcano dipindah, karbon dioksida naik paras bahaya

KEBANYAKAN daripada 250 penduduk tetap sebuah pulau gunung berapi Itali telah diperintahkan untuk berpindah selepas paras karbon dioksida di udara melonjak naik secara berbahaya, menyebabkan masalah pernafasan pada manusia dan haiwan peliharaan mereka.

Paras karbon dioksida di sekitar gunung berapi Vulcano di kepulauan Aeolian, di luar pantai utara Sicily, telah meningkat daripada 80 tan kepada 480 tan.

Menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV) Itali, perkara ini akan mengurangkan jumlah oksigen di udara.

Paras gas mula meningkat dengan ketara pada 21 Oktober, apabila penduduk mula melaporkan kesukaran bernafas dan masalah kesihatan yang dialami oleh haiwan peliharaan mereka, yang turut terjejas kerana penurunan paras oksigen.

Datuk Bandar Lipari, Marco Giorgianni, yang merangkumi kesemua tujuh pulau di kepulauan Aeolian, menandatangani peraturan yang memerintahkan pemindahan kawasan pelabuhan dan mewujudkan ‘zon merah’, di mana bukan penyelidik atau pegawai perlindungan bukan awam dilarang tinggal.

Manakala di ‘zon kuning’ pula, orang ramai masih boleh tinggal tetapi terpaksa tinggal di tingkat atas rumah mereka.

Peraturan itu juga melarang semua pelawat dan pelancong bukan pemastautin dari mengunjungi pulau itu selama sebulan.

Dalam sebuah mesej di laman Facebook Lipari Comune, Giorgianni menjelaskan bahawa pemindahan itu bukan disebabkan oleh ancaman letusan yang akan berlaku, tetapi kerana pelepasan gas berbahaya.

“Aktiviti gunung berapi memberi alasan kepada kita untuk berwaspada walaupun hampir semua data menunjukkan keadaan stabil.

“Data yang mendorong ordinan saya ialah peningkatan dalam pelepasan gas,” katanya.

Menurut laporan CNN, pihak berkuasa menjejakinya sejak sebulan lalu, melaporkan peningkatan gas ke tahap yang berpotensi berbahaya kepada manusia, terutamanya pada waktu malam ketika mereka sedang tidur.

“Rakyat saya mesti tinggal di udara paling selamat dan paling sihat di rantau ini,” ucapnya.

Menurut laman web INGV Palermo dan Balai Cerap Catania-Etneo, empat stesen geokimia untuk mengukur karbon dioksida dari tanah kini sedang beroperasi.

Balai cerap juga telah memasang tujuh stesen seismik baharu iaitu enam di Vulcano dan satu di Lipari bagi melengkapkan yang sedia ada.

Kamera terma definisi tinggi juga telah dipasang untuk memantau suhu tanah dan mengikut peraturan, penduduk akan diberikan elaun bulanan sebanyak 400 euro (RM1887) untuk satu isi rumah, 500 euro (RM2359) untuk isi rumah dua orang, 700 euro (RM3303) untuk isi rumah tiga orang dan 800 euro (RM3775) untuk isi rumah lebih daripada empat orang bagi mencari penginapan alternatif.

Vulcano dinamakan sempena Vulcan iaitu dewa api, kali terakhir meletus adalah pada 22 Mac 1890. – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button