Nasional

Penanam berkursus jaga kualiti harumanis

SEBAGAI buah ikon Perlis, mangga harumanis perlu dijaga kualitinya supaya nama yang sudah gah itu tidak akan tercemar. Sekaligus tanggungjawab ini perlu digalas oleh setiap penanamnya.

Bagaimanapun beban ini dapat diringankan apabila Jabatan Pertanian Negeri Perlis sentiasa menganjurkan kursus berkaitan penjagaan tanaman ini termasuk berkaitan kawalan bunga dan putik.

Masing-masing yang menyertai kursus ini mengakui, pengalaman yang ada selama lebih sepuluh tahun sebagai penanam harumanis masih belum cukup.

Abdul Aziz Mustafa, 61, yang terlibat dalam kursus ini puas hati kerana ada pengetahuan baru yang beliau dapat.

YUDY HEMZAN MUSTAFA menunjukkan cara penjagaan pokok harumanis di Kampung Simpang Geti, Mata Ayer, Arau, Perlis.

“Pihak jabatan memang dari semasa ke semasa mengkaji jika  ada berlaku masalah yang menyerang tanaman harumanis,” katanya.

Beliau berkata, ini penting kerana penanam perlu tahu untuk memastikan kualiti harumanis dapat dikekalkan.

ABDUL AZIZ MUSTAFA

Begitu juga Abdul Hanan Saad,  38, sekalipun telah mengusahakan harumanis sejak sepuluh tahun lalu tapi bukan bermakna dia mahir dalam penjagaan pokok ini.

Abdul Hanan berkata, dengan adanya kursus seperti ini dapat meningkatkan lagi keupayaan penanam dalam penjagaan kualiti harumanis.

Sementara itu, Pegawai Pertanian, Yudy Hemzan Mustafa berkata, pihaknya dari semasa ke semasa menganjurkan kursus untuk penanam harumanis bagi penghasilan buah yang lebih berkualiti.

“Kursus pertama berhubungan aruhan pembungaan dilaksanakan sejak Oktober tahun lepas,” katanya.

Katanya lagi, kursus Kawalan Bunga dan Putik kini sedang berjalan di mana ia dilaksanakan mengikut kelompok di seluruh Perlis.

ABDUL HANAN SAAD

Beliau berkata, pengetahuan ini penting kerana harumanis tengah mengeluarkan bunga.

“Setakat ini terdapat 63 kelompok penanam harumanis yang melibatkan 2,597 penanam dengan keluasan tanah sejumlah 1,687.47 hektar,” ujarnya.

Katanya, kursus ini diadakan di ladang milik Ketua Kelompok yang biasanya dengan kehadiran ahli 15 hingga 25 orang.

“Peserta bukan sahaja diberikan penerangan secara teori tapi juga menjalani amali di kebun berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran kursus berkenaan di Kebun Zainol Ahmad di Kampung Simpang Geti, Mata Ayer, Arau dekat sini hari ini. – SM

(Visited 539 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button