Politik

Pemuda BN cadang senarai nama bagi calon PRN Sabah

SENARAI nama calon muda Barisan Nasional (BN) dikemuka untuk dipertimbang sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Senarai tersebut diserahkan Pemuda BN kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pilihan kepada parti berkenaan.

Senarai nama tersebut dikatakan disaring terlebih dahulu dalam menentukan calon yang benar-benar layak untuk dicadang kepada ketua jentera BN di PRN Sabah.

“Sudah tentu Pemuda BN mengharapkan 85 peratus calon terdiri daripada muka baharu dalam kalangan anak-anak muda yang tidak ada sebarang kecelaruan dalam politik.

“Seterusnya boleh memberikan suatu harapan baharu kepada rakyat di Sabah.”

Demikian kata Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Tanjung Malim, Perak, seperti dipetik laporan Bernama, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dalam Program Ziarah Kasih di sekitar Pekan Lama Sungkai.

Katanya, BN mahu bangkit dengan wajah baharu serta sebagai sebuah parti yang lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berlaku kemelut perebutan kuasa.

Keputusan itu juga dibuat selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Susulan itu pada, 17 Ogos lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Sabah diadakan pada 26 September.

Penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 12 dan 22 September.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan partinya memberikan autonomi penuh kepada UMNO Sabah.

Hal demikian termasuklah memberi ruang kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu bagi menentukan calon dan juga bakal Ketua Menteri baharu. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button