PolitikRencana

Pas, UMNO jangan sampai ikatan terlerai

UMNO atau nama penuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu akan meraikan Ulang Tahun UMNO Ke-74 pada 11 Mei 2020 (Isnin) bersamaan 18 Ramadhan 1441 Hijrah.

Sambutan ulang tahun itu hanya beberapa bulan selepas parti itu kembali ke tampuk pemerintahan negara setelah membentuk pakatan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya runtuh selepas 22 bulan berkuasa akibat krisis dalaman komponen.

Setiap perkara yang berlaku sudah tentu ada hikmahnya dan tidak pernah ada sia-sia apabila ditakdirkan buat pertama kali dalam sejarah UMNO ‘jatuh’ dan ‘hilang kuasa’ pada Mei 2018.

Selepas tewas pada pilihan raya lalu, tidak sedikit para pemimpin UMNO melompat ke parti baharu iaitu Bersatu, dan ramai juga yang keluar dari UMNO dan menjadi orang politik tanpa parti. Ramai juga melompat menyertai PKR dan DAP demi kelangsungan hidup.

Yang kekal di dalam UMNO meneruskan perjuangan. Ramai yang berkorban tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan parti keramat Melayu itu terus berfungsi setelah akaun parti dibekukan.

Akaun para pemimpin parti juga dibekukan berikutan pelbagai tuduhan di mahkamah yang lebih kepada tuduhan politik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri berdepan dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan apabila perbicaraan berlangsung memang sudah dijangka wang yang dituduh digelapkan digunakan untuk aktiviti kebajikan oleh yayasan milik beliau.

Semasa tempoh 22 bulan ibu pejabat UMNO sendiri telah melalui pelbagai perubahan. Daripada sebuah gedung yang sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti yang menjana pendapatan ia menjadi sunyi seperti gedung yang sudah bankrap.

Bagaimanapun kebijaksanaan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim yang bertanggungjawab memulihkan kembali imej dan bisnes di PWTC telah berjaya membawa kembali jenama besar membuka kembali perniagaan di bangunan kebanggaan parti itu.

Perhimpunan Agungnya tetap berlangsung dengan meriah dan bersemangat walaupun hakikatnya parti itu sedang berdepan masalah kewangan yang getir.

Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor banyak berkorban demi memastikan parti itu terus bergerak.

Ahli-ahli di peringkat akar umbi pula telah mengambil inisiatif mewujudkan tabung bagi membiayai aktiviti supaya parti itu terus relevan dan kekal menjadi tempat rujukan rakyat menyelesaikan masalah.

Dalam tempoh itu juga tidak sedikit pilihan raya kecil dilalui dan kejayaan demi kejayaan dilakar dalam situasi serba keterbatasan.

Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah ketika itu selaku Ketua Penerangan tetap memastikan kempen-kempen berjalan secara efektif dengan menyuntik idea-idea baharu termasuk diskusi politik yang diadakan sepanjang perhimpunan agung dan kempen pilihan raya kecil.

Kejayaan yang paling bermakna ialah di Parlimen Kimanis, Sabah. Para pemimpin parti itu sama ada di peringkat negeri dan pusat bertungkus-lumus bergerak sederap bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Pada masa yang sama Zahid terus istiqomah bersama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengukuhkan kerjasama melalui Muafakat Nasional semakin jitu dan akhirnya membentuk PN setelah kerjasama itu diperluaskan dengan Bersatu dan serpihan PKR serta DAP.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu adalah ‘recap call’ UMNO sebagai suatu wadah yang penuh dengan jasa dan baktinya.

“UMNO adalah sebuah parti yang penuh dengan khazanah bukan saja jasa dan baktinya dari segi sejarah tetapi juga idealisme perjuangannya yang luhur. Ini kerana UMNO lahir dari rahim yang cukup suci, tulus ketika dibentuk dan ditubuhkan.

“Tujuan pembentukan UMNO itu tidak lahir dari perasaan marah, benci, dendam, kecewa  tetapi ia lahir dari semangat penyatuan orang Melayu/Islam  untuk menyelamatkan negara dan menyatukan orang Melayu dengan satu matlamat iaitu kembalikan maruah bangsa dan agama.”

Dr Asyraf berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas menjelang Hari Ulang Tahun UMNO ke-74 tahun yang bertajuk ‘Daripada Pembangkang Kepada Kerajaan’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online.

Mengulas lebih lanjut ujar Dr Asyraf, dekad demi dekad parti itu mentadbir negara sudah tentu ia tidak sunyi dari ujian demi ujian dan akhirnya UMNO tewas pada PRU lalu.

“Saat paling sukar apabila diuji dengan kuasa berada dikemuncak untuk UMNO pertahankan dan ia benar-benar berada pada landasan… tetapi akhirnya  UMNO jatuh,” katanya.

Tambah Dr Asyraf lagi, beliau tidak pernah rasa kecewa walaupun tewas pada 2018 lalu sebaliknya bersikap positif dan bermuhasabah.

“Apakah kita selama berkuasa itu benar-benar berada dalam landasan yang telah digariskan oleh nenek moyang kita yang mencetuskan dan melahirkan perjuangan ini iaitu A BA TA?

“Apakah ungkapan ini sedap meniti dibibir-bibir tetapi apakah kita menjiwainya dan memahaminya sebagai idealisme perjuangan dan menzahirkannya dalam amalan kita sehingga kita tidak perlu disokong oleh rakyat?” soalnya.

Sepanjang tempoh 21 bulan sebagai pembangkang, parti itu banyak melakukan pembaikan islah, perubahan dan proses pentarbiahan, kata beliau.

“Itulah kemanisan perjuangan yang dapat kita cungkil sebagai pembangkang dan saya rasa Alhamdulillah, Allah memberikan peluang dalam proses tersebut, demi kesinambungan perjuangan kita,” ujarnya lagi.

Para pemimpin UMNO kini sebenarnya berada pada tempoh yang paling sukar iaitu memegang kerajaan rapuh, pada masa yang sama berdepan dengan penularan wabak COVID-19 dan ancaman kemelesetan ekonomi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sekutu setianya DAP dan PKR sedang galak menggerakan usaha untuk kembali berkuasa dengan menggunakan institusi Parlimen setelah berjaya memasukkan agenda mengusulkan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Apa yang harus dilakukan oleh para pemimpin UMNO kini adalah supaya terus cekal dan tingkatkan semangat ahli serta pada masa yang sama mengelakkan daripada bercakaran sesama sendiri kerana telah terdengar desas desus tentang perebutan kuasa dan projek dalam kalangan pemimpin yang tamak.

Tempoh 22 bulan kehilangan kuasa belum mampu mendidik pemimpin tamak ini supaya lebih mengutamakan rakyat daripada tembolok masing-masing.

Oleh itu UMNO perlu mengangkat lebih ramai pemimpin dalam kalangan orang bawahan yang lebih memahami denyut nadi rakyat marhain berbanding pemimpin yang lahir dan dibesarkan dengan sudu serta cangkir emas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa sambutan pada kali ini diadakan secara sederhana, mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

“Bersempena Ulang Tahun UMNO kali ini, semua ahli UMNO dianjurkan di rumah masing-masing agar mengadakan bacaan Yassin, solat hajat dan doa selamat memohon supaya parti keramat ini dilindungi oleh Allah dan ahli-ahlinya dijauhi daripada malapetaka.

“Bacaan Yassin dan solat hajat ini boleh diadakan selepas berbuka puasa pada 10 Mei 2020 (malam). Diingatkan juga tarikh 10 Mei 2020 adalah Hari Memperingati Nuzul Quran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, pada 11 Mei 2020, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berkomunikasi secara live bersama 13 Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan 3 wakil Kelab UMNO Luar Negara melalui aplikasi Webex video conferencing, yang akan dimulakan pada jam 10.00 pagi.

“YB Datuk Seri Presiden juga akan mengumumkan Anugerah Hari UMNO kepada agensi barisan hadapan (frontliners) yang menangani Covid-19, sebagai simbolik penghargaan UMNO kepada jasa dan komitmen Barisan Hadapan Negara dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara. Plak dan sijil penghargaan kepada agensi itu akan disampaikan pada satu masa lain yang akan diberitahu kelak.”

Dalam hal ini, beliau menyarankan semua ahli UMNO agar mengibarkan bendera UMNO di kediaman atau rumah masing-masing sebelum 11 Mei 2020 sebagai tanda terima kasih kepada perjuangan parti yang sejak 74 tahun lalu banyak berjasa kepada rakyat negara ini.

“Marilah sama-sama kita jadikan ulang tahun UMNO ke-74 ini yang kebetulan jatuh dalam bulan Ramadan al-Mubarak sebagai detik bagi kita memperkasakan iltizam untuk terus berjuang mengangkat maruah parti dan masa depan rakyat,” katanya lagi yang juga juga Ahli Parlimen Pontian.

Moga program yang dijalankan kelak terus menaikkan semangat ahli dan pada masa yang sama jangan dilupa rakan yang setia ketika susah iaitu ahli serta para pemimpin Pas.

Jika undi tidak percaya terhadap perdana menteri berjaya dan pilihan raya umum diadakan kerjasama Pas dan UMNO akan menjadi tonggak kejayaan. – SM

(Visited 484 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button