CelotehUncategorized

Peliharalah hubungan adik beradik: Umpama daging masak kicap!

Norliza Abd. Rahman

BAHAGIANYA jika dapat berkumpul adik-beradik. Boleh bersembang dengan kakak, kakak ipar dan adik ipar dari pagi sampai ke malam.

Bersarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam sama-sama. Sambil bersembang sambil membawanglah apa lagi.

Berkongsi cerita-cerita lama sambil ketawa berdekah-dekah dan ‘membahan’ antara satu sama lain, lebih-lebih lagi bila mengimbau zaman kanak-kanak.

Pendek kata macam-macamlah nak disembangkan. Bak kata mak Mak Teh, “macam dah tak cukup hari nak bersembang!”.

Geram juga rasanya bila wabak Covid-19 ini membataskan pergerakan kita semua dan secara tidak langsung, ‘menjarakkan’ hubungan kekeluargaan.

Walaupun boleh buat panggilan video, berbual melalui aplikasi WhatsApp, berhubung melalui telefon-ia tetap tak sama dengan bersemuka.

Kalaulah wabak ini berakhir, rasanya nak aje Mak Teh paksa adik beradik yang ada dekat Johor Bharu, Kuala Terengganu, Klang, Kajang dan yang memang ada kat  Melaka berkumpul dekat rumah emak.

Celik mata aje, boleh bersembang. Nak membuta pun sempat lagi bersembang. ‘Port’ paling ‘best’ sudah tentulah dekat meja makan.

Malamnya pula, bentang toto dan sambung berguling sambil bersembang lagi. Sedar-sedar azan Subuh sudah berkumandang. Sebenarnya aktiviti bersembang sampai tak ingat dunia ini selalu berlaku menjelang hari raya.

Untuk pengetahuan semua, kami adik-beradik memang suka bersembang dan ia pada awalnya menjadi kejutan budaya buat suami Mak Teh yang berasal dari Kelantan.

Bukan setakat dengan adik beradik kalau jumpa… sepupu sepapat pun macam tu juga perangai Mak Teh. Sampaikan salah seorang sepupu yang bermalam di rumah pun cakap dalam ramai-ramai sepupu, dia paling selesa bermalam dekat rumah Mak Teh, anak isterinya boleh ‘in’ dengan kepala Mak Teh. Haaaa… nampak tak tahap keramahan Mak Teh di situ!

Bagaimanapun hati Mak Teh sedikit terusik apabila ada kenalan yang sangat rapat dengan Mak The, mengeluh mengenai hubungan dia dengan adik beradik yang semakin renggang.

Sedih sungguh rasanya apabila mendengar luahan hati dia.

Dia sangat menyayangi abang, kakak dan adik-adiknya, namun disebabkan sikap ego dan rasa tidak puas hati yang tidak berkesudahan menyebabkan dia sentiasa dicemburui dan merasakan dirinya dikhianati.

Sebagai seorang yang sangat berpegang kepada prinsip kenalan Mak Teh ini dibenci dan seolah-olah dibuang keluarga.

Jika hendak dikategorikan sebagai orang senang, dia bukanlah dalam kelompok itu. Kehidupannya sangat sederhana tetapi sentiasa menjadi sasaran adik-beradik yang lain termasuk disindir di media sosial.

Oleh sebab itu, dia lebih senang menjauhkan diri daripada adik beradiknya dan hanya berhubung melalui orang tengah.

Bukannya lupa pada keluarga tetapi tak mahu keruhkan lagi hubungan kekeluargaan yang sudah sedia retak. Dia selalu meluahkan rasa sedih dan berharap agar keluarganya kembali bersatu.

Mak Teh sentiasa menitipkan doa agar impian kenalan Mak Teh itu dimakbulkan. Tiada yang mustahil, lebih-lebih lagi dalam hubungan adik beradik. Asalkan masing-masing sanggup melupakan sengketa dan berusaha untuk kembali bertaut.

Dalam usia yang semakin meningkat ini, semua orang mahu disayangi dan diingati. Lebih-lebih lagi dalam kalangan adik beradik.

Apa yang dicatatkan di atas, adalah satu perkongsian untuk kita renung bersama dan muhabasah diri. Silaturahim dunia hingga ke akhirat.

Oklah. Marilah ikut Mak Teh ke kebun mini kat rumah ini. Selepas belek pokok cili Mak Teh di kebun sekangkang kera yang sedang galak berbuah tu, jomlah kita masuk dapur.

Menu kali ini, daging masak kicap. Masakkan ringkas sahaja tetapi rasa kayangan tau.

Bahan-bahannya

500 gram daging

Bawang besar

Bawang holland

Bawang putih

Halia

Kayu manis

Bunga lawang

Buah pelaga

Serai

Cili Kisar

Cili padi / Cili merah

Kicap pekat

Kicap manis

Asam keping

Buah tomato

Air

Minyak masak

Cara-caranya

Tumis bawang putih,bawang merah, halia, kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau.

Masukkan cili kisar dan serai sehingga pecah minyak. Masukkan daging sehingga empuk. Masukkan air, kicap manis, kicap pekat, asam keping.

Sebelum angkat masukkan tomato, bawang holland, cili, garam dan perasa. Sedia untuk dihidangkan. – SM

(Visited 827 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button