fbpx
Rencah HidupUncategorized

Sedihnya… suami, isteri bisu tunggang motor bawa anak masalah pendengaran ke hospital

PERUMPAMAAN berat mata memandang, berat lagi bahu memikul hanyalah bahasa mudah untuk kita gunakan apabila melihat orang dalam kesusahan.

Tetapi jarang sekali kita melihat kesusahan itu sudi dikongsi oleh orang lain demi untuk membantu dan meringankan beban mereka.

Namun itulah dilakukan oleh seorang pengguna Facebook, Zairul Ezam ketika melalui Lebuhraya Guthrie.

Kisahnya membantu pasangan suami isteri berkenaan pada minggu lepas tular dan mendapat perhatian media dan netizen.

Zairul yang sedang menunggang motosikal pada waktu senja kemudian berselisih dengan sepasang suami isteri.


Dia kemudian menyedari motosikal yang ditunggang pasangan itu tidak stabil akibat tayar kempis.

Namun, apabila dia memotong, kelihatan penumpang belakang sedang mengendong bayi sedang tidur.

“Allahu, ada baby,” luahnya.

Tanpa memikirkan keselamatannya, selepas tidak jauh meninggalkan pasangan suami isteri itu, Zairul bertindak patah balik dan menunggang lawan arus mencari mereka.

Apabila bertemu, dia kemudian bertanya tentang masalah motosikal sehingga keadaannya kelihatan begitu bahaya untuk meneruskan perjalanan.

Pasangan suami isteri OKU

Bagaimanapun, jawapan yang diterima Zairul cukup menyedihkan apabila pasangan itu adalah orang kurang upaya (oku) bisu.

Jadi, jawapan diterima hanyalah bahasa isyarat yang cuba beritahu bahawa mereka tidak boleh bercakap.

Zairul kemudian memeriksa motosikal berkenaan sebelum perasan tayar belakangnya kempis atau kurang angin.

Ingin bertanya lanjut, dia kemudian mengeluarkan telefon bimbit untuk bertanya pasangan tadi tinggal di mana.

“Bukit Subang” ringkas jawapan diberi.

Zairul cuba membantu, kemudian tiba seorang lelaki mencadangkan suapaya dia dan pasangan itu bertukar motosikal.

Tidak fikir panjang, Zairul bersetuju untuk tunggang motosikal sehingga ke stesen minyak di Denai Alam.

Apabila tiba di sana, sesuatu yang lebih menyedihkan terbongkar apabila Zairul ‘berbual’ dengan pasangan suami isteri itu.

Pertanyaannya di mana rumah pengasuh anak tidak dijawab sebaliknya pasangan tersebut memberitahu mereka membawa anak untuk pemeriksaan kesihatan.

Bayi dalam dakapan pun OKU

Mereka menghantar anak mereka ke Hospital Ampang dengan menunggang motosikal kerana anak mereka kurang pendengaran.

Sudahlah ibu dan ayah bisu, anak pun ada masalah, cukup berat dugaan yang diterima mereka.

“Terus saya menangis. Berkata dalam hati. Apa Tuhan nak tunjuk pada aku ni. Saya terus taip di Whatsapp, nyatakan bagi saya bawa motor si suami ini, sampai ke rumah. Mereka bersetuju,” kata Zairul.

Kemudian kesedihan yang dirasainya seperti bertimpa-timpa apabila bertemu dengan anak sulung pasangan itu dekat rumahnya di Taman Bukit Subang, Shah Alam.

Anak sulong juga OKU

“Anak sulung, sempurna tapi ini speech delay. Tak semena-mena saya sekali lagi menyeka air mata melihat si ibu mengendong Nur Jannah dan si ayah memimpin Muhammad Ziyad Wafi,” luahnya.

Justeru, Zairul terdetik untuk menggunakan fungsi media sosial bagi menularkan kesusahan yang dialami pasangan itu sekeluarga.

Pembaca Suara Merdeka yang prihatin ingin menyerahkan sumbangan bolehlah berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 12234020181048 di atas nama Zubair Mohammad (penunggang motosikal bersama isterinya). – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button