fbpx
Travel

Pekerja mogok, penerbangan di Afrika Selatan terpaksa dihentikan

SOUTH African Airways (SAA) terpaksa mengambil langkah menghentikan sementara semua penerbangan domestik dan antarabangsa berikutan ancaman mogok oleh kesatuan pekerja, lapor agensi berita Xinhua.

Pengumuman dibuat syarikat penerbangan itu pada Khamis selepas Kesatuan Kebangsaan Metalworkers Afrika Selatan dan Persatuan Kru Kabin Afrika Selatan mengancam mengadakan mogok kerana membantah pemberhentian pekerja, selain menuntut kenaikan gaji.

Kesatuan berkata mogok besar-besaran akan bermula pukul 4 pagi waktu tempatan (0200 GMT) Jumaat, melibatkan kru kabin, kakitangan teknikal dan daftar masuk.

SAA berkata usaha untuk menyelesaikan pertikaian dengan kesatuan menemui jalan buntu, sekaligus memaksa semua penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dihentikan untuk beberapa hari.

Syarikat penerbangan meminta pelanggannya mencari alternatif lain.


SAA menolak tuntutan kenaikan upah lapan peratus dan merancang untuk meneruskan pemberhentian pekerja seramai 944 orang – hampir seperlima daripada keseluruhan jumlah pekerja.

Akibat pengurusan yang lemah, SAA menghadapi masalah aliran tunai untuk meneruskan operasi.

Dalam tempoh 13 tahun lalu, syarikat penerbangan itu menanggung kerugian bernilai lebih 28 bilion rans (kira-kira US$1.9 bilion).

Langkah menghentikan sementara itu, mengakibatkan syarikat kerugian lebih 50 juta (kira-kira US$3.4 juta) sehari. — BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button