Nasional

PDRM tetapkan empat hari perjalanan rentas negeri

EMPAT hari ditetapkan untuk perjalanan rentas negeri bermula Khamis (7 Mei) ini, bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pulang ke kediaman masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata tarikh perjalanan ditetapkan secara berperingkat mengikut negeri.

“Pada 7 Mei,  orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur dibenar untuk pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain di Semenanjung, manakala 8 Mei (Jumaat) untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing.

“Pada 9 Mei (Sabtu) pula, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang dan pada 10 Mei (Ahad), pergerakan untuk yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata orang ramai diingatkan agar hanya membuat perjalanan mengikut negeri pada hari yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan teruk di lebuh raya.

“Kita galakkan kesemua mereka untuk melakukan perjalanan pada waktu malam iaitu selepas waktu berbuka dan ia lebih selesa untuk semua pengguna,” katanya.

Huzir berkata orang ramai yang mengemukakan permohonan boleh membuat perjalanan mengikut tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Beliau berkata tiada lagi kod QR akan dikeluarkan kepada orang ramai yang membuat permohonan seperti sebelum ini, tetapi polis boleh mengesan sekiranya mereka tinggal lama di sesuatu tempat yang tidak sepatutnya atau tidak mematuhi perjalanan seperti yang dimohon.

“Tujuan aplikasi ini adalah untuk memudahkan perancangan perjalanan orang ramai yang terkandas dan bukannya untuk mencari kesalahan dan kami sedaya upaya memastikan keadaan trafik lancar sepanjang tempoh ini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button