Politik

PRN Johor: Paluan gendang parti manakah yang sumbang

PETANG ini nanti, bertempat di Pulai Spring Resort, Pulai, Johor, Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan siapakah calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Petang ini juga nanti, dalam majlis yang sama, akan diadakan penyerahan watikah parti PN dan dijangka hadir pada majlis itu nanti semestinya Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Percaturan dibuat, campur-tolak, kedepan-kebelakang, nama-nama yang akan ditampilkan pada petang ini sebagai calon parti.

Kalau yang teringin mahu menjadi calon, sudah tidak  ada masa lagi untuk melobi tetapi akurkan dengan keputusan kepimpinan parti masing-masing sama ada nama terpilih atau tersingkir sebagai calon pada PRN Johor.

Gendang parti bukan sahaja dipalu oleh PN tetapi Barisan Nasional (BN) UMNO juga telah mula memalu gendang. Sumbang atau tidak kedengaran paluan gendang itu nanti, kita ukur sama-sama sepanjang tempoh dua minggu berkempen.

Kita tunggu juga apakah isu rakyat yang akan dibawa oleh calon-calon yang bertanding, bukan retorik, bukan gula-gula untuk raih sokongan dan undi semata-mata.

Pergeseran di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi semakin hangat dengan tuduhan dan cabar angkat sumpah laknat.

Sumpah laknat mengimbau kembali era pemimpin de’faktor Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada suatu ketika itu, berhadapan dengan kes liwat di mahkamah.

Rasanya sudah lebih sedekad isu sumpah laknat menjadi perbualan mulut ke mulut rakyat di negara ini dan baru-baru ini, timbul semula sumpah laknat.

Kalau nak diikutkan dalam Islam, isu lafaz sumpah laknat adalah sesuatu yang amat serius dan ia amat dekat dengan soal iman.

Sumpah laknak bukannya boleh dijadikan retorik politik atau diucap atau dilafazkan dengan sewenang-wenangnya.

Ini kerana ia membulatkan tekad untuk melafaz sumpah bahawa Allah SWT akan melaknat jika tidak bercakap benar dan boleh mengundang amarahNya.

Oleh yang demikian, baik Zahid mahupun Muhyiddin, kedua-dua pemimpin Islam ini harus dinasihatkan agar berhati-hati menjaja nama Allah kerana mahu menegakkan benang politik masing-masing.

Memang benar, yang sebut dan bangkitkan soal sumpah laknat itu bukan Muhyiddin dan beliau juga bukanlah berhati kering menolak ajakan Zahid.

Sebaliknya, beliau ada prinsip sendiri, tidak mahu melayan permintaan yang pada padangan beliau, adalah hak Zahid jika Ahli Parlimen Bagan Datoh itu mahu berbuat demikian.

Pencerahan itu dibuat oleh Muhyiddin kelmarin, Selasa, 22 Februari lalu usai Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikannya di Putrajaya ekoran menjawab soalan wartawan berhubung sumpah laknat.

Tidak mungkin di antara kedua-dua pemimpin Islam ini mahu bersikap carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga dalam gelembung politik masing-masing.

Rakyat memerhati tingkah laku para pemimpin terutamanya PRN Johor kerana rakyat negeri perlu membuat pilihan yang tepat.

Pemimpin-pemimpin mahu diberikan mandat tetapi selepas mendapat mandat daripada rakyat, jangan dimatikan mandat kerana kerakusan kuasa sebagai pemimpin.

Kalau para pemimpin dan parti-parti politik sedang siapsiaga untuk berhadapan dengan PRN Johor, media juga tidak ketinggalan.

Sudah ada yang berkampung di Johor Bahru, sudah ada yang menayang kad kebenaran membuat liputan, sudah ada yang membuat skrip ringkas PRN Johor.

Bukan sahaja rakyat diberi pilihan untuk memilih siapakah calon atau parti manakah yang membawa banyak manfaat serta kebaikan kepada rakyat negeri tetapi juga dalam sajian laporan berita.

Pilih untuk baca, pilih untuk tonton kerana setiap yang disajikan itu, ada acuannya tersendiri, cara tersendiri, gaya tersendiri. – SM

(Visited 654 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button