Nasional

Pas gesa siasat sindiket kemasukan warga China dan India

PIHAK berkuasa digesa untuk menyiasat segera sindiket kemasukan warga China dan India serta kaitannya dengan sindiket kad pengenalan palsu secara menyeluruh.

Ketua Penerangan PAS, Kamarulzaman Mohamad berkata, parti itu bimbang dengan isu lambakan kemasukan pelancong China dan India ke dalam negara yang tidak mempunyai rekod keluar.

Jelas beliau, isu tersebut begitu serius dan boleh menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Menurut laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, sepanjang 2016 sehingga 2018, sebanyak 79,799 data ketibaan warga China dan 41,243 warga India melawat ke negara ini.

“Namun, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) merekodkan sejumlah 76,258 (95.6%) warga China dan 39,806 (96.5%) warga India tidak mempunyai rekod keluar,” kata Kamarulzaman.

Jelas beliau pada 21 Ogos lalu juga telah berlaku gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama tiga hari.

Dalam tempoh tersebut, tular di media sosial kononnya segerombolan warga China masuk ke Malaysia atas tiket pelancong.

“Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan terancang apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) membuat laporan kepada Jabatan Imigresen dan PDRM supaya menyiasat kegagalan rangkaian di KLIA itu seperti satu tindakan berniat jahat.

“Ia seperti mempunyai kaitan dengan sindiket kad pengenalan, passport dan sijil kelahiran palsu di Pulau Pinang yang menyebabkan lebih 20 suspek telah ditangkap termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

“Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, mengatakan pihaknya percaya sindiket ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah di negeri-negeri lain dan percaya sudah lama beroperasi,” kata Kamarulzaman.

Menurut beliau, jangan kerana kepentingan pihak tertentu untuk mempertahankan kuasa politik, kedaulatan dan keselamatan negara tergadai di tangan orang asing.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pengecualian visa terhadap pelancong dari China dan India berkuatkuasa pada 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 dan tertakluk di bawah Subseksyen 2(1) Akta pasport 1966.

Tempoh masa lawatan yang dibenarkan terhad kepada 15 hari sahaja dan tidak boleh dilanjutkan.

Menerusi perintah itu juga, pelancong berkenan perlu memasuki Malaysia dan keluar dari Malaysia hanya melalui lapangan terbang yang dibenarkan atau pos kawalan imigresen.

Selain itu, pelancong terbabit tidak dibenarkan untuk memohon apa-apa pas lain di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pelancong juga mestilah mempunyai tiket penerbangan perjalanan balik terus ke Republik Rakyat China dan India atau tiket penerbangan perjalanan ke mana-mana negara jika melakukan perjalanan melalui udara.

Dalam pada itu, pelancong terbabit perlu mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai wang poket yang mencukupi, kad kredit atau kad bank dengan logo UnionPay, Alipay atau eWallet termasuk mengemukakan jadual perjalanan di Malaysia.

Pelancong terbabit juga dibenarkan untuk mendaftar semula untuk memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari daripada tarikh meninggalkan Malaysia.-SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button