Politik

Kalau nak jadi Kerajaan: Parti-parti pembangkang boleh duduk bincang

Bersatu sokong cadangan Muhyiddin adakan perbincangan

SEMALAM telah diadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Antara yang dibincangkan pastinya tentang bagaimana mahu menghadap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mendatang.

Biarpun tidak ada sesiapa yang dapat menjangka dengan tepat bilakah PRU15 akan diadakan namum semua parti sudah mengorak langkah masing-masing untuk memperkemaskan jentera dan menggempur pihak lawan.

Parti-parti politik di Malaysia, khususnya parti pembangkang sebenarnya boleh jadi kuat sekiranya mereka duduk di bawah satu payung.

Tidak kiralah sama ada payung itu akan koyak atau carik selepas PRU15, sekurang-kurangnya, mulai sekarang, parti-parti pembangkang masuk gear duduk bawah satu payung besar.

Tidak cukup jika hanya Bersatu menyokong usaha Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRU15 akan datang.


Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, parti itu turut memberi mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan sendiri oleh Muhyiddin bagi membincangkan strategi menghadapi PRU.

Hamzah dalam memberikan pencerahan berkata, MPT memutuskan untuk memberi mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh Presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain.

Itulah yang diputuskan dalam mesyuarat MPT semalam, jelas Hamzah.

Menerusi mesyuarat itu juga MPT Bersatu telah membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu.

Untuk kesekian kalinya, Bersatu meletakkan calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor lalu dan daripada 56 DUN, Bersatu hanya menang kerusi yang boleh dibilang dengan jari.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengemukakan cadangan gabungan parti pada PRU15 yang akan datang.

Presiden parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pertemuan di antara Presiden Bersatu (Muhyiddin) dan Pengerusi Pejuang (Tun M) berlangsung selepas PRN Johor.

Selain Pejuang, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mendedahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ada menghubunginya untuk membentuk kerjasama politik selepas rundingan dengan Tun Mahathir gagal.

Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan inisiatif bagi membentuk kerjasama pada PRU15 dibuat selepas beliau didatangi seorang pemimpin kanan parti Pejuang.

Muhyiddin juga mendakwa, beliau didatangi pemimpin daripada beberapa parti lain termasuk Pejuang selepas PRN Johor tamat. – SM

 

(Visited 476 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button