Politik

Wanita UMNO gariskan lima pembaharuan baharu – Noraini Ahmad

Pergerakan Wanita UMNO menggariskan lima pembaharuan penting yang perlu dilakukan segera bagi memastikan parti terus relevan dan diterima rakyat kembali selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pembaharuan paling utama perlu dilakukan ialah pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi kerana terdapat ramai
pengkhianat yang menjadi salah satu punca kekalahan dalam PRU15.

Menurutnya, perkara kedua, gerakan yang berstrategi harus diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik yang matang, maka UMNO wajib segerakan menubuhkan Akademi Kepimpinan Wanita.

Beliau berkata, ketiga, penguasaan media sosial perlu lebih visible, effective dan ‘prominent’ melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian perlu dilaksanakan dengan segera.

Pembaharuan keempat katanya, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan dan kelima, peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) perlu diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa.

“Selain lima pembaharuan itu, untuk kita kembali kuat semula, kembali bangkit dan pulih, kita perlu merubah secara total pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita, untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman.

“Tarikh 19hb November pasti terpahat dengan keputusan PRU15 ibarat kaca jatuh terhempas. Apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan.

“Bagi saya, Wanita UMNO telah memberi yang sehabis baik. Namun kemenangan bukan milik kita. Kekalahan yang kita lalui adalah amat memilukan. Ramai di antara kita yang masih dalam kesedihan, kekecewaan dan ada juga yang masih tidak dapat menerima kekalahan ini,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Noraini berkata, PAU 2022 ini merupakan perhimpunan yang sangat berbeza daripada perhimpunan-perhimpunan yang pernah kita lalui selama ini.

Katanya, PAU 2022 kali ini dalam suasana bercampur-campur kerana ada perasaan marah, kecewa dan lebih perit lagi, sakit dikhianati namun masih ada sisa-sisa kesetiaan yang menebal dalam setiap jiwa perwakilan, hingga kita masih mampu bersama-sama di dalam dewan ini.

“Suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa kita hanya menang 30 kerusi sahaja di Dewan Rakyat. Ini merupakan pencapaian terburuk dalam sejarah kita,” ujarnya.

Justeru kata Noraini lagi, kita perlu terima hakikat bahawa, rakyat tidak lagi melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pilihan yang perlu diberikan mandat dan sokongan untuk memimpin negara kita.

Jelasnya, ahli parti juga kena sedar bahawa, kita bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat, tetapi kita seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button