Nasionalpilihan

Pari 2.4 kg nobatkan pesara tentera terima RM25,000

Seorang pemancing tidak menyangka ikan pari seberat 2.4 kilogram (kg) berjaya menobatkan dia sebagai juara menerima hadiah wang tunai RM25,000 pada pertandingan memancing Megasurf Pantai Puteri 2023 di sini hari ini.

Razali Mohd. Taib, 55, dari Taman Cheng Perdana 1 dekat sini berkata, dia menggunakan umpan udang hidup terus membuat balingan pertama selepas siren dibunyikan untuk memulakan pertandingan.

Dia yang juga pesara tentera berkata, tidak sampai tujuh minit jorannya disambar ikan dan hanya memerlukan masa dua minit sebelum dapat menjinakkan ikan pari seberat 2.4 kg kira-kira pukul 9.41 pagi.

“Saya sendiri tidak sangka balingan saya sangat dekat lebih kurang 30 meter tiba-tiba terus disambar ikan.

“Kebiasaannya pemancing baling ke tengah lebih dari 30 meter tetapi hati saya cakap baling dekat pun cukup kalau ada rezeki adalah tuahnya.

“Kemenangan ini sangat mengejutkan kerana ini kali pertama saya mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 kerana sebelum ini adalah menang empat kali tapi
hadiah wang tunai antara RM5,000 hingga RM7,000,” ujarnya.

Dia ditemui selepas penyampaian hadiah yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Pentas Budaya, Pantai Puteri.

Razali berkata, memancing adalah hobi utamanya sejak bersara dari tentera dan sering menyertai banyak pertandingan memancing.

Katanya, terbaru tahun ini dia muncul juara sebuah pertandingan di Pantai Puteri dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

Ujarya, wang kemenangan yang diraih hari ini diberikan kepada anak dan isterinya termasuk dikongsi dengan 12 rakannya yang turut sama menyertai pertandingan yang
disertai seramai 1,200 peserta.

Naib juara pula menjadi milik Mohd. Marzuki Shafie, 40, dari Bangi Selangor yang berjaya menaikkan ikan kurau seberat 1.1 kg serta menerima hadiah wang tunai RM8,000.

“Alhamdulillah rezeki saya walaupun tak dapat muncul juara menang tempat kedua pun sudah mencukupi dapatlah saya wang tunai RM8,000,” ujarnya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Bagi pemenang tempat ketiga pula menjadi milik Fazrin Aziz Abd. Aziz yang berjaya menjinakkan ikan pari seberat 805 gram untuk menerima hadiah wang tunai RM4,000. – SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button