Nasionalpilihan

Bekas pengawal keselamatan sekolah dibantu dengan faedah-faedah PERKESO

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) semalam menyampaikan faedah kepada Orang Berinsurans (OB) yang mengalami kecederaan putus kedua belah tangan (Bilateral Transradial Amputation) setelah diserang oleh tiga (3) orang lelaki tidak dikenali di Klang, Selangor pada 3 Jun 2020.

Kemalangan ngeri tersebut menyebabkan mangsa, S. Kubenthiran A/L Sathasivan, 24 tahun, tidak lagi mampu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jalan Acob, sehingga kini. Sejak kemalangan tersebut juga, rutin harian beliau seperti makan, minum, penggunaan tandas dan berpakaian turut terjejas dan memerlukan bantuan sokongan daripada orang lain.

Kes OB yang tular di media sosial turut mendapat perhatian Skuad PERKESO Prihatin bersama Pengurus Pejabat PERKESO Klang, Encik V. Mohanadas. Tindakan pantas telah diambil dengan mendapatkan maklumat mengenai OB dan semakan mendapati bahawa S. Kubenthiran mencarum dengan Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

S. Kubenthiran A/L Sathasivanyang mengalami kecederaan putus kedua belah tangan (Bilateral Transradial Amputation) setelah diserang oleh tiga (3) orang lelaki tidak dikenali di Klang, Selangor pada 3 Jun 2020. Foto: BKK PERKESO

Caruman yang dibuat OB memenuhi syarat kelayakan dan membolehkan beliau menerima Faedah Perubatan dan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS). Atas keprihatinan PERKESO juga, kes OB turut dirujuk ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka, di mana OB telah diberikan rawatan rehabilitasi selama enam (6) bulan bermula 18 Ogos 2021 sehingga 18 Mac 2022.

Rawatan berkonsepkan pengurusan hilang upaya menerusi Program Return To Work (RTW) PERKESO ini turut merangkumi Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional seperti pemberian bekalan prostetik dan fisioterapi yang intensif kepada S. Kubenthiran. Ia bermatlamat untuk membantu mengembalikan fungsi anggota badannya, sekaligus membolehkan beliau dapat kembali bekerja dengan lebih awal, sihat dan selamat. Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan ini ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.


Meskipun tidak lagi bekerja dan mencarum, PERKESO telah juga merujuk kes S. Kubenthiran kepada Jemaah Doktor (JD) bagi pertimbangan untuk mendapatkan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK). Setelah siasatan dibuat, keputusan JD telah memutuskan bahawa beliau layak menerima bayaran FHUK secara pukal iaitu sebanyak RM117,344.81 untuk sekali bayar dan bayaran berkala kira-kira RM1,500 sebulan yang akan dibayar untuk seumur hidupnya.

PERKESO telah menyediakan bekalan tangan palsu buat S. Kubenthiran bagi membantunya untuk menjalani rutin harian seperti makan dan minum. Foto: BKK PERKESO

Faedah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Ketua Cawangan RTW PERKESO, Puan Rosmawati Mat kepada OB di kediamannya di Kapar, Selangor, pagi ini. Hadir sama menyaksikan penyerahan tersebut ialah Pengurus Pejabat PERKESO Klang, Encik V. Mohanadas.

Menurut Encik V. Mohanadas, PERKESO cukup prihatin dengan nasib malang yang menimpa OB, lebih-lebih lagi apabila disahkan mengalami hilang upaya kekal. PERKESO telah menyediakan bekalan tangan palsu buat OB bagi membantunya untuk menjalani rutin harian seperti makan dan minum. Selain itu, OB juga dibantu dengan rawatan pemulihan menerusi program RTW dan carian pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan fizikalnya.

Sementara itu, S. Kubenthiran telah menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada PERKESO atas segala bantuan yang telah diberikan sejak dia ditimpa insiden tersebut. Katanya, “Rawatan pemulihan yang diterima semasa berada di pusat rehabilitasi telah banyak membantunya untuk segera pulih dan memberikan dia harapan serta motivasi untuk terus hidup serta menjalani kehidupan seperti insan lain”.

FHUK adalah faedah tunai yang dibayar kepada pekerja yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan dan disahkan oleh JD. Faedah Perubatan pula menyediakan rawatan perubatan secara percuma kepada OB yang mesti diperoleh dari Hospital Kerajaan, termasuklah rawatan pakar sekiranya perlu.

Foto: Iksan BKK PERKESO

Sementara itu, program pengurusan hilang upaya RTW PERKESO adalah satu program pemulihan yang komprehensif dan berasaskan kaedah pelbagai disiplin (multi-disciplinary approach) supaya bantuan pemulihan awal dapat diberikan dengan objektif membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan dapat kembali bekerja secepat mungkin.

PERKESO cukup prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh S. Kubenthiran dan berharap bantuan faedah dan sokongan yang diberikan ini dapat memulihkan semangat beliau sehingga mampu untuk berdikari semula. Keadaan dan perkembangan beliau juga akan terus dipantau oleh Pengurus Kes PERKESO dari semasa ke semasa. – SM

Artikel berkaitan > Waris Allahyarham jurulatih penerbangan terima bantuan PERKESO

(Visited 82 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button