fbpx
Politik

Pakatan Nasional perlu, Ku Li jadi Perdana Menteri

KETIKA saya singgah di PWTC untuk solat Jumaat saya terkejut kerana begitu ramai orang, bagaikan sedang berlangsung acara yang besar.

Sementara menunggu khatib membaca khutbah, fikiran saya menerawang memikirkan apa acara besar yang berlangsung di ibu pejabat UMNO ini.

Pesta buku? Tidak mungkin kerana tidak dengar sebarang berita ia akan berlangsung minggu ini.

Akhirnya saya membuat kesimpulan ramai yang hadir untuk mengetahui keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dikatakan akan memutuskan untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Pakatan Nasional, sekali gus membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu telah digembar-gemburkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Lokman Adam.


Bagaimanapun UMNO dalam kenyataan berkata isu itu tidak dibincangkan, sebaliknya mesyuarat hari ini memutuskan untuk terus mengukuhkan Muafakat Nasional yang dijalinkan parti itu bersama Pas.

Dan yang mengejutkan ialah Lokman dipecat dari UMNO dan mesyuarat hari ini juga melantik Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin menggantikan Tan Sri Mohd Apandi Ali yang meletakkan jawatan secara rasmi 7 Januari lalu.

Berbalik kepada realiti politik semasa, Pakatan Nasional adalah sesuatu yang diperlukan oleh negara pada masa ini.

Perkara ini diperjelaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulas berhubungan gerakan tersebut.

Abdul Hadi berkata, kerajaan Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan yang pincang kerana dibebani dengan pelbagai janji yang telah dibuat sebelum pilihan raya.

Tindakan pelbagai parti dan pemimpin di dalam pakatan itu semata-mata untuk menunaikan janji pilihan raya menyebabkan kerajaan hari ini kucar-kacir.

Lantaran kerajaan hari ini dikuasai oleh bukan Melayu, pelbagai tindakan bagi menunaikan janji yang dibuat, menyebabkan kepentingan Melayu dan Islam semakin terancam, walaupun mereka majoriti penduduk negara ini.

Senario itu menyebabkan apabila golongan majoriti itu bersuara, mereka dituduh menafikan hak golongan minoriti.

Keadaan itu jika berteruskan akan menyebabkan golongan majoriti merasakan tertindas dan bangkit penentangan terhadap kerajaan.

Kerajaan hari ini juga gagal memastikan kebajikan majoriti rakyat dipelihara termasuk menangani masalah kos sara hidup yang meningkat.

Ekonomi yang tidak memberangsangkan dan ditambah dengan kurangnya kemasukan pelabur asing, memburukkan lagi keadaan.

Saya bersetuju dengan Abdul Hadi bahawa Pakatan Nasional diperlukan bagi menggantikan kerajaan hari ini, tetapi tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru.

Langkah itu perlu dilakukan secara demokratik, sama ada dengan undi tidak percaya di Parlimen atau majoriti ahli parlimen bergabung membentuk pakatan baharu atau melalui pilihan raya umum.

Saya melihat Abdul Hadi sangat ikhlas dalam hal ini dan difahamkan jika pakatan baharu itu dibentuk Abdul Hadi menolak sebarang jawatan menteri, sebaliknya lebih memilih untuk menjadi penasihat agama Islam.

Di dalam UMNO pula semua pihak tidak menolak perlunya pakatan baharu termasuk Lokman Adam, tetapi masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Lokman lebih memihak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kembali sebagai Presiden UMNO dan ada juga pihak mahukan Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Presiden.

Pada masa yang sama penyokong presiden masa ini Ahmad Zahid sudah tentu mahu mengekalkan pemimpin berkenaan menerajui parti.

Bagaimanapun majoriti pemimpin UMNO dan Pas bersetuju jika pakatan baharu dibentuk untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir, perlu menerima kesemua pemimpin UMNO.

Bermakna tiada pemimpin yang akan dipinggir termasuk Najib dan Zahid yang sebelum ini dikatakan akan digugurkan daripada pakatan baharu tersebut.

Pakatan baharu ini juga dikatakan tidak akan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini bermakna pemimpin PKR itu tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Persoalannya kini siapa yang bakal menggantikan Dr. Mahathir. Pengganti beliau perlulah seorang yang mempunyai kewibawaan sama tahap negarawan itu.

Selepas radar politik diimbas beberapa kali, akhirnya saya mendapat jawapan orang yang paling sesuai ialah Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Saya tidak akan mengulaskan lanjut tentang Ku Li, kerana bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air, rekod Ku Li adalah cemerlang sama seperti Dr. Mahathir.

Ku Li bagaimanapun terkeluar dari radar politik selepas parti Semangat 46 ditubuhnya dibubarkan. Ku Li sebelum itu kalah apabila menentang Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO.

Sekali lagi mengapa Anwar disingkirkan dan jika ini berlaku, Dr. Mahathir tentunya mempunyai sebab musabab yang kukuh. Kita hanya dapat meneka itu dan ini sahaja.

Bagaimanapun jika tidak dilantik sebagai perdana menteri, Anwar akan keluar dari kerajaan dan pastinya disertai DAP dan Amanah.

Beberapa individu di dalam PKR, DAP dan Amanah bagaimanapun dikatakan bersedia mengikuti pakatan baharu dibentuk oleh Dr. Mahathir.

Jadi apa jua situasinya Pakatan Nasional akan tetap dibentuk, sama ada pada pilihan raya akan datang, jika berlaku undi tidak percaya di parlimen atau kerajaan baharu dibentuk melalu gabungan majoriti ahli parlimen.

Cuma ia perlu diperhalusi, agar berjalan lancar dan dapat diterima oleh penyokong hingga ke akar umbi untuk semua parti terlibat.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button