Nasionalpilihan

Ops Khas: JPJ sita 3,111 motosikal

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 3,111 motosikal sepanjang Operasi Khas Motosikal di seluruh negara bermula 1 September hingga semalam kata Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan.

Menurutnya, kesemua motosikal yang disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya awam.

Katanya, JPJ bertindak menyita motosikal bertujuan menghentikan kesalahan berulang dan berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara tidak diingini iaitu menjadi punca berlaku kecederaan parah atau kemalangan maut.

“Motosikal yang disita boleh dituntut pada bila-bila masa selepas mereka melengkapkan semua dokumentasi dan kes kesalahan diselesaikan termasuk mendapatkan perlindungan insurans.

“Selain itu JPJ bercadang akan bekerjasama dengan dua agensi berkaitan untuk mengekang penjualan alat ganti kenderaan khususnya bagi tujuan modifikasimotosikal yang menyalahi undang-undang,” ujarnya kepada pemberita selepas Ops Khas Motosikal di Lebuh Raya AMJ dekat Malim malam tadi.

Lokman berkata, kerjasama tersebut adalah antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, setiap kenderaan motor wajib melalui prosedur oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) sebelum layak dipasarkan dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya.

Beliau berkata, penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT kerana JPJ hanya berkuasa menegakkan undang-undang di atas jalan raya.

“Justeru kita cadangkan operasi bersama perlu diadakan melibatkan KPDN dan PBT diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, JPJ telah memeriksa sebanyak 140,544 buah motosikal sepanjang tempoh operasi dari 1 September sehingga semalam di mana sebanyak 64,295 notis, pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Katanya, daripada 64,295 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan, terdapat 24,459 (38%) kes tiada perlindungan insuran dan 19,928 (31%) kes tiada/tamat lesen memandu.

Jelasnya, baki 31 peratus lagi melibatkan pelbagai kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat merah sebanyak 4,061 kes (6%), ubahsuai ekstrem sebanyak 2,676 (4%) kes, dan membonceng motosikal di bawah umur, sebanyak 259 kes. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button