Rencah Hidup

Serabai pemanis mulut majlis kenduri

SEBUT kuih serabai, semakin ramai tidak mengenali makanan warisan ini sehingga kadangkala ia digelar sebagai “kuih orang-orang tua”.

Bermakna peluang untuk mendapatkan kuih ini di pasaran juga bukan mudah.

Jika di Perlis, kuih serabai ini kadangkala boleh juga didapati di Nat (pasar pagi mingguan) kemungkinan bagi memenuhi permintaan pengunjungnya yang rata-rata warga emas.

Rokiah menunjukkan kuih serabai yang dibuatnya untuk majlis kahwin anak saudaranya di Mata Ayer, Perlis.

Bagi pesara jururawat, Rokiah Ahmad, 70, beliau sengaja membuat kuih serabai untuk majlis kenduri perkahwinan anak saudaranya di Mata Ayer, Perlis sebagai hidangan “pemanis mulut” kepada tetamu yang hadir.

“Saya membuat 100 biji kuih serabai yang dimakan dengan kuah manis,” katanya yang mempelajari membuat kuih ini daripada seorang jiran.

Beliau akui sudah biasa membuat kuih ini seorang diri termasuk menerima tempahan.

Rokiah memberitahu, bahan utama untuk membuat kuih serabai hanya tepung dan yis.

“Kuahnya pula menggunakan santan dan gula. Untuk kuah yang pekat, guna tepung,” jelasnya.

Rokiah membuat kuih serabai yang bakal dihidangkan pada majlis perkahwinan

Beliau berkata, kuih serabai ini  sebenarnya tidak mempunyai rasa, ia tawar. Jadi ia perlu digandingkan dengan kuah manis atau kuah durian.

“Gabungan kuih serabai yang lembut ini apabila dimakan dengan kuah manis memang mengundang rasa enak yang luar biasa,” ujar beliau.

Jelas Rokiah, pada mulanya beliau bimbang jika kuih serabai yang dibuatnya akan berlebihan dan tidak digemari tetamu.

Bagaimanapun tekaannya meleset kerana bukan sahaja licin tetapi hatinya tersentuh apabila kuih serabai juga disukai dan digemari kanak-kanak.

Rokiah berkata, beliau berpuas hati kerana dapat menyediakan kuih tradisional ini yang semakin dilupakan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya generasi muda menggenali kuih ini dengan merasanya di majlis perkahwinan seperti ini. – SM

(Visited 502 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button