Ekonomi

Najib gesa kerajaan selamatkan Sapura

PETALING JAYA: Najib Razak menggesa kerajaan melindungi Sapura Energy Bhd daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Bekas perdana menteri itu mengkritik PNB kerana gagal mengambil tindakan semasa pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini mengenai masalah Sapura dan menghentikan bantuan aliran tunai.

“PNB dan kerajaan perlu memikirkan kepentingan strategik negara. Ekosistem vendor Bumiputera, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat dan ekonomi secara keseluruhan, ia lebih daripada sekadar membuat pelaburan lain.

“Jika Sapura muflis, 10.6 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera akan mengalami kerugian langsung RM4 bilion.

“PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kumpulan wang simpanan lain akan menghadapi kerugian tidak langsung akibat hutang RM10 bilion yang terhutang kepada bank tempatan, seperti Maybank, di mana PNB memiliki 50%,” tulisnya di Facebook hari ini.

Najib juga berkata hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang dan kira-kira 4,500 vendor atau pembekal akan terjejas.

“Malaysia akan kehilangan sebuah syarikat multinasional, serta syarikat perkhidmatan petroleum terbesar dalam sektor terpenting negara.”

Beliau menggesa kerajaan bertindak segera dengan menyediakan pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura bagi menyelesaikan masalah aliran tunainya, dengan alasan inilah cara kerajaan Barisan Nasionalnya menyelamatkan Proton.

Najib, bagaimanapun, menyatakan bahawa ini akan menjadi penyelesaian sementara jika Sapura kekal di bawah PNB, yang “tidak berpengalaman” dalam sektor ini dan telah membuat keputusan yang tidak tepat pada masa lalu. “Masalah yang sama boleh berlaku lagi,” katanya.

Sebagai alternatif, katanya, kerajaan boleh mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih pemilikan Sapura. Petronas bukan sahaja masih memerlukan perkhidmatan Sapura untuk projeknya, tetapi mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang sektor itu.

“Beginilah cara Petronas menyelamatkan MISC Berhad pada 1998. Selepas pulih, Petronas (atau Khazanah) boleh menjual semula sebahagian saham Sapura ke pasaran tempatan sama seperti Petronas menjual semula saham MISC untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Menurut Najib, Sapura, 40% daripadanya dimiliki oleh PNB, mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas. Kerugian terbesar bagi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan dalam sejarah. “Sapura berada di ambang muflis, berdepan dengan berpuluh-puluh saman kebankrapan yang difailkan oleh vendornya.”

“Harga saham Sapura jatuh daripada sekitar 80 sen sebelum PRU14 kepada 3.5 sen. Ini bermakna pelaburan tambahan PNB sebanyak RM2.7 bilion pada 2019 apabila harga saham 41 sen telah jatuh hampir 95% dalam tempoh tiga tahun sahaja.

“Sapura pernah menjadi syarikat perkhidmatan sektor minyak dan gas kedua terbesar di dunia dengan nilai RM30 bilion. Pada masa ini, syarikat ini, yang masih merupakan syarikat perkhidmatan kepada sektor petroleum terbesar negara, hanya bernilai sekitar RM500 juta hingga RM650 juta,” katanya.

Najib berkata masalah syarikat timbul daripada peminjaman berlebihan yang dibuat sebelum 2015 apabila harga minyak mencecah AS$100 setong. Apabila Sapura cuba memohon pinjaman modal kerja sebanyak RM2 bilion daripada bank tempatan selepas harga minyak mula meningkat pada 2019, permohonan pinjamannya ditolak.

Walaupun PNB melakukan rombakan pengurusan Sapura pada awal 2021, Najib berkata PNB tidak lagi mahu membantu syarikat itu dengan pinjaman baharu tetapi mengarahkan Sapura melupuskan asetnya untuk menyelesaikan masalah aliran tunainya.

“Penutupan sempadan antarabangsa, merumitkan penjualan aset.

“Tanpa kemudahan bank dan modal kerja untuk meneruskan projek sedia ada atau menjalankan projek baharu, Sapura pasti akan muflis,” katanya.

(Visited 800 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button