EkonomiNasional

Keputusan buka 11 aktiviti ekonomi undang pelbagai reaksi

KEPUTUSAN kerajaan untuk membuka semula 11 aktiviti ekonomi di negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini menimbulkan pelbagai pandangan antara sektor perniagaan dan pakar kesihatan.

Dari sudut perniagaan, pemain industri yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka bersetuju dengan pembukaan semula tetapi tidak dipersetujui oleh pakar kesihatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan analisis risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam perdagangan masing-masing.

Untuk rekod, semua 11 aktiviti itu adalah seperti berikut: pusat cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

FMT mendapatkan komen bekas menteri kesihatan, Dr. Lee Boon Chye. Beliau percaya ia bukanlah masa yang sesuai untuk membuka semula sektor ekonomi apabila hanya separuh populasi sahaja menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.

“Manakala 16% yang telah mendaftar tetapi belum divaksin, 13% orang dewasa telah mendaftar dan 20% lagi berusia di bawah 18 tahun.

“Apabila kita memberi kelonggaran terlalu awal, mereka yang belum divaksin akan terkesan dan mengalami kadar kematian yang tinggi selain dijangkiti dengan lebih serius.

“Kita perlu menunggu sekurang-kurangnya mereka yang telah mendaftar itu menerima vaksin sebelum membuka sektor ekonomi,” katanya.

Boon Chye berkata, jika kita mempercepatkan kadar vaksinasi, kita boleh mencapai sasaran dalam tempoh tiga minggu sambil menambah, keputusan membuka semula ekonomi harus dilakukan berdasarkan penilaian risiko.

“Sebahagian sektor yang membabitkan bilangan pekerja atau pelanggan yang minimum atau berada dalam persekitaran terbuka harus dibenarkan dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya,” ujar beliau.

Sementara itu, Penasihat Kumpulan Kelangsungan Perniagaan, Ameer Ali Mydin berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan pemain industri dan membenarkan lebih banyak sektor dibuka semula di negeri di bawah Fasa 1.

“Ini semestinya dapat merangsang semula ekonomi negara kerana industri di negeri di bawah Fasa 1 adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan juga harus membenarkan rangkaian pembekal beroperasi.

“Sebagai contoh, jika anda membenarkan kedai pakaian dibuka semula, anda juga perlu memberi kebenaran kilang tekstil dibuka semula. Jika tidak, bagaimana kedai ini boleh mendapatkan bekalan mereka?”

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) pula menggesa kerajaan meneliti SOP sedia ada supaya lebih konsisten dan mencerminkan realiti sebenar operasi.

Dalam satu kenyataannya, Pengerusi Samenta, William Ng mencadangkan empat SOP diubah semula.

“Pertama, kita mengulangi gesaan supaya tidak lagi ada perbezaan antara perniagaan keperluan dan bukan keperluan dan keputusan membuka semula ekonomi hanya berdasarkan kapasiti, keupayaan untuk melaksana dan menguatkuasakan penjarakan sosial dan garis panduan operasi yang selamat serta status vaksinasi pekerja, pelanggan dan pelawat.

“Kedua, kita menggesa kerajaan membaiki semula SOP dan garis panduan pembukaan semula yang mencerminkan parameter operasi, bukannya pendekatan secara berperingkat yang diumumkan.

“Kami cadangkan supaya membenarkan semua sektor termasuk pembuatan, pembinaan dan runcit dibuka semula dengan 80% kapasiti apabila 80% pekerjanya yang lengkap dua dos,” katanya.

Beliau berkata, ketiganya, memandangkan terdapat pelbagai SOP, kita menggesa kerajaan segera mengarahkan semua agensi penguat kuasa untuk melaksanakan pendekatan secara rundingan dalam penguatkuasaan SOP.

“Perniagaan tidak boleh terus didenda kerana berlaku kelewatan dan kesilapan kecil yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, pelanggan atau pelawat.

“Keempat, kita sekali lagi mendesak kerajaan supaya mempunyai satu agensi atau pusat kontak untuk mengkoordinasikan pengeluaran permit dan surat kelulusan beroperasi, bukannya meminta kita untuk pergi ke kementerian terbabit,” katanya.

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button