fbpx
Nasional

Najib dakwa gaji bekas CEO MAHB terus dibayar

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa gaji bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin terus dibayar walaupun selepas meletakkan jawatan.

Najib mendakwa, gaji Raja Azmi dibayar gaji penuh selama tempoh dua tahun lagi dari tarikh dia letak jawatan pada 6 Januari lalu.

“Yang menakjubkan pula ialah saya difahamkan bahawa dia disuruh letak jawatan tetapi dia tetap akan dibayar gaji penuh selama tempoh 2 tahun lagi dari tarikh dia letak jawatan.

“Jika benar, maka persoalannya ialah jika dia terpaksa letak jawatan kerana dia telah melakukan kesalahan, kenapa dia pula dibayar gaji penuh selama 2 tahun lagi?

“Adakah ini ganjaran ataupun syarat supaya dia tidak mendedahkan sebab utama dia dihentikan sebagai CEO?” tanya Najib.


Najib mendakwa, Raja Azmi meletakkan jawatan selepas MAHB bertegas mahu menjalankan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sendiri tanpa penglibatan syarikat PFI (Private Finance Initiative).

“Bekas CEO MAHB pun mengumumkan pada 25 Disember 2019 bahawa kerja pembesaran PIA akan bermula tak lama lagi.

“Tetapi 12 hari selepas CEO umumkan MAHB akan teruskan projek tersebut secara sendiri, CEO tiba-tiba umum dia letak jawatan walaupun tak sampai tempoh setahun selepas dia dilantik secara rasmi sebagai CEO,” kata Najib.

Menurut Najib, projek untuk membesarkan kapasiti PIA dari 6.5 juta penumpang setahun ke 12 juta setahun telahpun diluluskan oleh kerajaan pusat BN pada tahun 2017.

Syarikat milik Khazanah Nasional, Malaysia Airports Berhad (MAHB) telahpun diarahkan untuk memulakan kerja pembinaan pada tahun 2018.

“Namun selepas PH menang PRU14, projek MAHB ini dihentikan dengan alasan kerajaan sudah bankrup dan tak ada duit untuk membiayai kos projek.

“Sebab itu, projek tersebut perlu diswastakan dengan menggunakan kaedah Private Finance Initiative (PFI),” kata Najib.

Najib menimbulkan isu tersebut selepas bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kecewa dengan jawapan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai PIA di Parlimen.

Ka Siong memberitahu, kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf PIA telah dihentikan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) siap pada 2023.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, dia telah mengumumkan projek pembesaran PIA dalam Belanjawan 2020 di Parlimen tahun lalu

Menurut bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, projek pembesaran PIA dijangka bernilai RM800 juta di mana peringkat awalnya merupakan pembesaran kapasiti penumpang daripada 6.5 juta kepada 12 juta.

“Mengapa PN perlu menunggu sehingga selepas 2023 untuk membuat keputusan?

“Menggunakan alasan kesan pandemik Covid-19 ke atas industri pelancongan dan sektor penerbangan untuk menangguhkan projek ini sehingga selepas 2023 adalah seolah-olah seperti kerajaan PN menjangka pandemik Covid-19 ini masih belum ditangani dalam masa tiga tahun akan datang.

“PN mestilah memberi penjelasan apa asas kepada andaian liar mereka bahawa pandemik Covid-19 masih tidak akan ditangani sehingga selepas 2023,” soal Guan Eng.-SM

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button