PolitikPRK

Muhyiddin vs Zahid

MESTI ramai pihak yang akan mempertikai mengapa saya membandingkan dua pemimpin ini. iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin kini hanya Menteri Dalam Negeri bukan Perdana Menteri. Bagaimanapun kedua-dua mereka ialah presiden parti. Zahid Presiden UMNO, manakala Muhyiddin Presiden Bersatu.

Zahid Pengerusi Barisan Nasional, tetapi Muhyiddin Timbalan Presiden Pakatan Harapan di sini agak berbeza sudah pastilah kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentu memegang jawatan Presiden Pakatan Harapan.

Lagipun adalah tidak logik untuk membandingkan mana-mana pemimpin di negara ini dengan Mahathir yang menjadi Perdana Menteri kali kedua dan telah banyak sumbangan beliau kepada negara dan kini bertungkus-lumus siang dan malam menyelesaikan masalah negara.

Saya tidak bimbang atau ragu soal kerja keras kerana Dr. Mahathir telah membuktikan dan tiada siapa yang mampu menandinginya apatah lagi dalam usia beliau yang begitu lanjut, belum ada di dalam sejarah dunia pemimpin yang mempunyai kehebatan sedemikian.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai telah mempertemukan Zahid dan Muhyiddin sebagai dua buah parti yang bertanding. Jika dahulu mereka sekapal kini mereka menjadi nakhoda armada yang berbeza. Zahid walaupun terdapat cakap-cakap supaya beliau menyerahkan jawatan tertinggi di dalam UMNO kepada Datuk Seri Mohamad Hasan kerana dilihat lebih berwawasan dari segi membawa parti berkenaan ke hadapan, tetapi Zahid membuktikan kelebihan beliau ialah menyatukan Pas dengan Barisan Nasional di dalam Muafakat Nasional.

Kelebihan Zahid beliau berlatarbelakang pendidikan agama Islam dan beliau mudah diterima oleh para pemimpin Pas serta pengikutnya. Oleh itu apabila bercakap tentang Islam Zahid tidak pernah tergelincir dari asas hukum hingga mendapat gelaran pelbagai seperti liberal dan antihadis.

Kelebihan ini memudahkan para pemimpin Pas dan UMNO bahkan pemimpin MCA serta MIC yang bersikap sederhana berbaur dan berasimilasi. Jadi tidak hairan setiap kali Zahid dan para pemimpin Pas turun ke Tanjung Piai orang yang mengikuti ceramah mereka melimpah-ruah.

Zahid memang pintar berpidato, apatah lagi beliau memang lahir dari kilang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin ABIM, Timbalan Perdana Menteri dan kini bakal Perdana Menteri kelapan. Walaupun pidato beliau tidak sehebat Anwar, tetapi cukuplah untuk mempersonakan hadirin.

Muhyiddin bab pidato memang bosan penuh dengan retorika dan tiada dinamika. Sebab itulah apabila cubaan Muhyiddin untuk meniru karakter Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Bosku gagal. Apabila beliau melakukan program jalan-jalan bertemu pengundi atau penyokong hanya segelintir yang tampil. Sedang nama beliau sangat besar, tetapi aura beliau gagal menarik minat massa.

Namun jangan diperkecilkan peranan Muhyiddin. Beliaulah yang bangkit menentang Najib dan digunakan sebagai senjata untuk menjatuh Najib sehingga terbentuklah kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Cuma nasib beliau sentiasa malang setiap kali lompat ke dalam kapal, aura beliau luntur kerana di situ telah ada nakhoda yang lebih hebat. Untuk ditolak ke hadapan sebagai pejuang juga itu bukan karaktor Muhyiddin, kerana beliau lebih hebat dari segi gerakan secara senyap.

Bagaimanapun dari segi rekod pilihan raya kecil seingat saya Muhyiddin hanya berjaya ketika mengetuai jentera parti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor, itupun ketika beliau masih dalam Barisan Nasional serta UMNO. Selebihnya di Sungai Limau, Barisan Nasional kalah gara-gara ucapan Muhyiddin yang mempersendakan Allahyarham Tan Sri Azizan Razak yang meninggal dunia selepas dipotong kaki akibat daripada penyakit kencing manis yang dideritainya.

Walaupun secara berseloroh Muhyiddin bercerita tentang kenaikan harga gula dapat mengurangkan jumlah pesakit kencing manis sebagai yang dihidapi Azizan. Jika dilihat balik isu kenaikan harga gula sahaja boleh menyebabkan orang kalah pada pilihan raya, tetapi kini tidak ada barang yang tidak naik dan rakyat tidak lagi peduli dan ia agak kelakar. Jika diimbau kembali pada awal tahun kemerdekaan pernah berlaku rusuhan peniaga Cina ekoran kerajaan mahu mengharamkan penggunaan dacing kerana dikatakan menjadi punca penipuan timbangan. Tetapi kini soal penimpuan timbangan sudah lapok kerana rakyat sudah tidak tahu untuk membuat pertimbangan kerana terlalu banyak ahli politik yang menipu. Atau mungkin kerana menipu mereka mendapat kuasa dan menjadi menteri.

Oleh itu jangan diperkecil kedua-dua pemimpin ini tanpa kita memahami dan kita mendesak Zahid melepaskan jawatan Presiden UMNO. Begitu juga Muhyiddin walaupun beliau tidak agresif tidak mustahil Anwar akan menggunakan beliau untuk merealisasikan impian untuk menjadi Perdana Menteri.

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button