Celoteh

Puasa dalam kerinduan

Oleh Norliza Abd. Rahman

MASIH belum terlewat untuk Mak Teh ucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam yang sekali lagi terpaksa menyambutnya dalam suasana Perintah Kawalan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pemulihan dek penangan wabak Covid-19.

Biarpun suasananya agak berbeza berbanding tahun lalu namun kesedihan tetap meninggalkan kesan kerana mereka yang berjauhan daripada ibu bapa tidak berpeluang meraikan bulan yang mulia ini untuk berterawih, bersahur dan berbuka puasa bersama-sama.

Sayu rasanya hati tatkala membaca luahan hati rakan-rakan di media sosial betapa terkilannya mereka tidak dapat meneruskan tradisi berpuasa bersama keluarga tercinta di kampung kerana larangan rentas negeri.

Begitu jugalah sedihnya hati Mak Teh bila hanya berpeluang mendengar suara emak yang menyambut Ramadan di kampung, mujurlah abang sulung dan adik bongsu memang tinggal di Melaka jadi mereka memang selalu meluangkan masa bersama mak.

Dalam usia yang menjangkau 71 tahun kudrat mak semakin menipis, tapi semangatnya tetap kuat untuk melakukan pelbagai perkara sendiri terutamanya memasak dan mengemas rumah.

Ikutkan hati mahu saja balik kampung ziarah emak yang mengadu sakit badan selepas terjatuh di tangga semasa mengemop rumah, namun hasrat terbantut dek kerana ada malaun yang gatal tangan tanyang-tayang surat rentas negeri yang sudah siap dicop dan ditanda tangan di media sosial.

Mak Teh cuba hubungi balai polis katanya kena ada surat sokongan seperti surat doktor. Tapi surat memang tak ada sebab mak tak pergi hospital sebaliknya memilih untuk berurut sahaja itu pun entah dah urut ke belum. Sebagai rakyat yang patuh Mak Teh hanya mampu berdoa agar Allah terus pelihara mak.

Bertambah berdengung rasa kepala bila Menteri Kesihatan umum cadangan balik kampung sempena Aidilfitri ditangguhkan, ya memanglah sudah dijangka bila angka tiap-tiap hari naik mencanak jadi nak salahkan siapa? Duduk diam-diam kat rumah sampai tembus dinding ditenung pun bukan boleh hilangkan wabak Covid-19.

Belum lagi bab dua anak yang menuntut di Melaka maklumkan sudah ada kes penuntut dijangkiti Covid-19, maka makin tertekan jadinya sebab memikirkan keadaan mereka. Hanya doa yang mampu dititipkan buat anak-anak Mak Teh di sana.

Kelas bersemuka yang dirancang terpaksa diteruskan secara atas talian dan ia bukan sekadar mengecewakan penuntut tetapi juga pensyarah yang menyatakan rasa rindu nak berjumpa dengan anak didiknya.

Begitulah kepahitan yang terpaksa ditelan oleh kita semua. Menanti divakasin dengan penuh kesabaran dan menanggung rindu yang tidak berpenghujung kepada keluarga.

Mak Teh dah cakap dekat suami bila boleh rentas negeri nanti perkara pertama mestilah nak tengok mak, tengok anak-anak dan yang penting ke Johor Bharu ziarah Azizi @ Jiji yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Baiklah jom kita masuk dapur sediakan hidangan bersahur, menu ringkas dan cepat dimasak iaitu spagetti goreng bersama makanan laut cara Mak Teh.

Bahan-bahannya

1/2 bungkus spagetti direbus dan ditoskan
1/2 labu bawang holland dipotong dadu
1 ulas bawang putih dicincang
Lobak merah
Brokoli
Tomato
Cili kering
Sedikit serbuk lada hitam
Garam
1 kiub pati ayam
Minyak masak

Kupang
Sotong
Udang

Cara-caranya

Panaskan minyak, tumis bawang putih, cili kering dan bawang holland sehingga layu, masukkan kuib pati ayam, makanan laut, sayur dan kacau-kacau sehingga masak. Masukkan spagetti, garam dan serbuk lada hitam, gaul sebati dan sedia untuk dihidangkan. – SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button