Nasional

DBKL cadang tutup Jalan TAR kepada lalu lintas setiap Ahad

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bercadang menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman, lebih dikenali sebagai Jalan TAR, kepada lalu lintas setiap Ahad mulai 28 Sept.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ini bagi menggalakkan budaya berjalan kaki dalam kalangan warga kota.

Beliau berkata DBKL sedang mengadakan sesi perbincangan dengan pihak-pihak di kawasan terjejas bagi membolehkan penutupan jalan itu direalisasikan.

“Kita mahu menutup Jalan TAR dari simpang Jalan Esfahan sehingga Jalan Tun Perak dari jam 6 pagi hingga tengah malam bagi menggalakkan budaya berjalan di kalangan orang ramai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung usaha menaik taraf infrastruktur pejalan kaki di Kuala Lumpur dan budaya ‘sanggup berjalan kaki’ dalam kalangan warga kota.

Jalaluddin berkata pelbagai program akan dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan itu termasuk persembahan buskers, persembahan seni kreatif dan program sukan tradisional.

Beliau berkata dewan bandaraya juga sedang mengkaji rancangan untuk melakukan perkara yang sama dari persimpangan Jalan Pudu sehingga persimpangan Jalan Bukit Bintang.

Mengenai projek menaik taraf infrastruktur pejalan kaki, Jalaluddin berkata sebanyak 23 kawasan telah dikenal pasti.

“Projek-projek ini sedang dirancang supaya mempunyai rangkaian yang lengkap dan apabila siap akan memberi imej baharu atau penjenamaan semula kepada kawasan terbabit dan secara tidak langsung boleh dijadikan tarikan pelancong,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai langkah yang diambil oleh dewan bandaraya bagi memastikan keselamatan pejalan kaki, Jalaluddin berkata kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di seluruh Bandaraya Kuala Lumpur, dengan 2,062 daripadanya memberi tumpuan kepada laluan pejalan kaki, selain 250 pegawai penguat kuasa menjalankan rondaan dari semasa ke semasa.

“Jangan risau, keselamatan anda terjamin. Galakkan budaya berjalan kaki,” katanya.

(Visited 348 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button