Luar Negara

Semoga syurgalah tempatmu Shadi…

KETIKA rakyat Syria bangkit menuntut hak mereka dari regim Bashar al Assad pada 2011, Shadi Asaad ketika itu seorang peniaga yang berjaya dan berada di luar negara.

Terkesan dengan keganasan yang diperlakukan ke atas orang awam, dia nekad untuk kembali ke tanah air menuju ke bandar kelahirannya Idlib bagi membantu mangsa yang cedera dan terperangkap akibat serangan.

Sejak lebih lapan tahun lalu, dia tidak pernah menoleh ke belakang. Siang dan malam, diabadikan untuk melakukan tugasan dalam apa juga keadaan sehingga dalam kalangan rakan-rakan setugas serta penduduk sekitar dia diberi gelaran Shadi al Isaaf atau Shadi ambulans kerana dia menjadi orang yang pertama sampai apabila berlaku sebarang musibah atau serangan tentera regim dan sekutunya, Rusia.

Komitmennya terhadap kerja-kerja kemanusiaan bersama White Helmets telah membantu menyelamat ribuan nyawa.

Namun semalam (15 Januari 2020), kali terakhir orang ramai melihat kelibat Shadi sebelum dia sendiri menjadi korban serangan.

Shadi terbunuh ketika cuba menyelamat orang awam.

Ambulans yang dinaikinya tidak terkecuali dari menjadi sasaran bom ketika dia dan rakan setugas lain bergegas menyelamatkan mangsa di sebuah pasar di tengah bandar Idlib.

“Hari ini kami meratapi kehilangan seorang wira. Shadi al Asaad, sukarelawan White Helmets yang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah pasar di bandar Idlib”, tulis The Syria Campaign di laman Facebooknya.

Seakan tahu ajalnya akan tiba, dia pernah memuat naik status di laman Facebook dan menegaskan akan meneruskan tugasan sebagai sukarelawan kemanusiaan sehingga ke penghujung hayat.

Dia berharap pengorbanan yang dilakukan akan menjadi teladan kepada tiga anak-anaknya yang masih kecil.

Semalam Allah memakbulkan permintaan Shadi. Di mata kasar kematiannya begitu menyayat hati. Namun di sisi lain, ia satu kemuliaan kerana sanggup mengadai nyawa sendiri demi membantu orang lain.

Semoga kematiaannya diterima Allah sebagai seorang yang syahid.

Kini selepas ketiadaan Shadi, apa nasib isteri dan anak-anak yang sedang mengharap kasih sayang seorang bapa.

Inilah Syria…

Razali Awang
Media Syria Care

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button