Berita

Penduli Insan Malaysia prihatin nasib mangsa gempa Syria di Turkiye

SEKITAR pukul 3 pagi tadi sepasukan ahli Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berlepas ke Lubnan bagi menggerakkan Misi Bantuan Musim Sejuk 3 Negara yang sekali gus membantu rakyat Syria yang terkesan ekoran gempa bumi yang berlaku di Turkiye.

Susulan gempa bumi yang terjadi di lebih 10 wilayah Turkiye, banyak kemusnahan berlaku terutama di wilayah Gaziantep, Ankara serta di bumi Syria yang bersempadanan dengan Turkiye.

Oleh itu, Peduli Insan bertindak mengedarkan bantuan kepada 10,000 pelarian Syria seperti keperluan musim sejuk.

Pengerusi Peduli Insan, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan dalam satu kenyataannya memaklumkan, perancangan untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan ini dirangka lebih sebulan yang lalu.

Beliau berkata, Pasukan Peduli Insan akan pergi ke Lubnan terlebih dahulu untuk menyerahkan bantuan musim sejuk.

Ini termasuklah peralatan pemanas, bahan bakar, set pakaian musim sejuk, kotak-kotak makanan serta makanan panas siap hidang, katanya.

“Keperluan yang dinyatakan ini akan diagih-agihkan mengikut keadaan dan keperluan mendesak ketika ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, bagi Misi Bantuan Kecemasan Gempa Syria-Turkiye, ia dilancarkan sejurus selepas mendapat perkhabaran yang berlaku dengan hampir 30,000 bangunan musnah.

Katanya, fokus utama mereka ialah bantuan kecemasan gempa ini diserahkan kepada rakyat Syria sendiri serta pelarian Syria yang berada di Turkiye selepas melihat bantuan dunia lebih tertumpu kepada Turkiye.

“Kami juga akan bergerak ke Turkiye dan Syria dalam usaha menyampaikan bantuan sumbangan para penyumbang.

“Angka korban gempa bumi mencecah 36,000 orang. Peduli Insan telah mengeluarkan dana kecemasan awal berjumlah RM250,000 untuk kegunaan segera.

“Dana itu disalurkan kepada mangsa gempa di Syria dan Turkiye bermula hari pertama berlakunya bencana ini,” ujarnya.

Setakat ini, beliau berkata, menerusi pasukan Peduli Insan berpejabat di Syria dan Turkiye, mereka telah mengedarkan bantuan berupa peralatan sokongan mencari dan menyelamat.

“Kita juga telah mengedarkan makanan panas siap hidang selain daripada agihan bantuan musim sejuk berbentuk set pakaian musim sejuk, selimut tebal serta sokongan perubatan dan pemulihan trauma kepada kanak-kanak.

“Kini keseluruhan dana yang telah berjaya dimanfaatkan adalah melebihi RM600,000,” jelasnya.

Tambah beliau, 14,000 liter diesel bagi kegunaan alatan pemanas telah diberikan kepada masjid-masjid yang menempatkan mangsa gempa bumi.

“Kita juga telah mengagih-agihkan 11,950 set pakaian musim sejuk, 2,000 selimut tebal, lampin bayi dan susu formula telah diberikan dan pasukan Peduli Insan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak bantuan,” katanya.

Justeru orang ramai yang ingin menyalurkan Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Syria Turkiye boleh menyumbang menerusi akaun rasmi Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, nombor akaun 07043011062082 atau menerusi www.peduliinsan.org – SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button