Luar Negara
Trending

Berpuluh maut, regim khianati gencatan senjata

BERPULUH nyawa menjadi korban di Idlib apabila regim Bashar al Assad dan sekutunya berterusan mengkhianati “gencatan senjata”di utara Syria seperti yang diumum minggu lalu.

Kebanyakan mangsa terbunuh selepas kawasan awam dan lokasi strategik seperti kilang berterusan menjadi sasaran bom dan roket.

Menurut The Guardian sekurang-kurangnya 21 orang maut meskipun Moscow mengisytiharkan pelaksanaan gencatan senjata berkuatkuasa 12 Januari 2020.

“Kami yang hidup di sini tidak mengetahui adanya gencatan senjata atau ia sekadar momokkan media. Di kawasan ini tiada gencatan senjata, orang ramai ketakutan. Pasar kosong,” kata Sari Bitar, kepada agensi berita AFP.

Jelasnya lagi keadaan semakin teruk kerana tiada lagi tempat untuk melarikan diri kerana hari demi hari, serangan tanpa henti menyebabkan secara geografi keadaan menjadi semakin mengecil.

Situasi di Idlib semakin kritikal kerana serangan tanpa henti telah memaksa hampir sejuta mereka yang berada di selatan wilayah itu menyelamat diri ke kawasan selamat yang bersempadan dengan Turki.

Sejak Disember lalu, lebih 350,000 telahpun melarikan diri, menyebabkan keadaan begitu sesak.

Angka itu menyebabkan jumlah keseluruan pelarian baru yang tiba di situ sejak sembilan bulan lalu kini mencecah 750,000 orang.

Dalam kenyataan pada Khamis, International Rescue Committee memberi amaran sekiranya serangan berterusan 650,000 orang lagi akan tiba untuk menyelamatkan diri.

Meskipun mengisytiharkan gencatan senjata, pencabulannya berlaku hampir setiap masa.

Regim dan sekutunya berterusan melancarkan operasi di kawasan berhampiran bagi menguasai Lebuhraya M5 yang dianggap penting bagi menghubungkan Damsyik dengan Aleppo yang pernah menjadi pusat kewangan negara itu sewaktu sebelum konflik. /Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button