PRK

Kimanis milik ‘Wow’ atau ‘Ba’?

Analisis

Oleh ZACK JAY

AKHIRNYA setelah 14 hari berkempen, pilihan raya raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis memasuki kemuncak pengundiannya esok Sabtu 18 Januari 2020.

Persaingan untuk memenangi kerusi Kimanis amat sengit antara pencabarnya Parti Warisan Sabah dan penyandang, Barisan Nasional (BN) – lebih tepatnya lagi UMNO.

Suara Merdeka yang turun padang sejak seminggu lalu meninjau kawasan-kawasan pusat daerah mengundi di Membakut, Bongawan serta sekitar kawasan-kawasan terpencil di sana, akur bukan mudah untuk `Radu Tatap Radu’ mengetepikan `Ubah Balik’.

Usaha jentera pilihan raya kerajaan `lawan, terus lawan’ untuk menangkis hujah-hujah dilemparkan jentera pembangkang `orang Kimanis sudah tersalah pilih dengan janji’, dihimpit dengan satu isu besar – persetujuan kerajaan negeri Warisan meluluskan pelaksanaan pas sementara Sabah (PSS) mulai 1 Jun 2020 .

Warisan dalam siri kempennya menggambarkan BN selama lebih 50 tahun ini telah gagal membawa pembangunan kepada Sabah. Juga, mencetuskan sentimen tidak keyakinan pengundi terhadap UMNO/BN yang didakwa `bobrok’ dengan membangkitkan isu 1MDB dan `Najib Bossku perompak’.

Sebaliknya isu PSS tiba-tiba dalam dua minggu ini menjadi `besar’ yang begitu dimanfaatkan pembangkang. Jika diteruskan dakwa mereka boleh mencetuskan masalah sosial di Sabah.

Bahkan, PSS dengan jaminan Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan ditanggguhkan, dipercayai akan `disemarakkan’ hingga ke detik-detik terakhir kempen tengah malam ini.

Ya, Warisan ada pendirian dan faktanya yang tersendiri dalam pelaksanaan PSS. Cumanya, sebahagian rakyat negeri itu terutama dalam kalangan masyarakat Kadazandusun Murut melihatnya sebagai ancaman terhadap keseimbangan demografi serta masalah keselamatan jangka panjang.

PSS, isu yang cukup `beremosi’ kelihatan mempengaruhi corak pengundian esok. Ia yang benar-benar dieksploitasi secara maksimum oleh BN, dijangka memberi sedikit sebanyak undi kepada calonnya, Mohamad Alamin.

Tidak dinafikan Warisan menerusi calonnya, Datuk Karim Bujang memiliki keupayaan kewangan dalam menyusun dan merancang jentera-jentera akar umbi, melaksana projek dengan pemantauan menteri-menteri, apatah lagi didukung oleh kerajaan Pusat Pakatan Harapan di peringkat nasional.

Begitupun cabaran parti lawan begitu bukan kepalang `kecil-kecil cili padinya’.

Biarpun Warisan mengemukakan hujah kepada masyarakat Kimanis dalam ceramah-ceramah mereka bahawa PSS telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu melalui bukti-bukti minit mesyuarat dan pengakuan pihak-pihak terlibat dalam mesyuarat diketuai Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 2015, sebilangan khalayak kelihatan sukar menerimanya.

Penjelasan untuk meyakinkan pelaksanaan PSS ini cukup sukar. Ia bergantung sejauh mana hujah-hujah dan penerangan yang diberi, meyakinkan pengundi.

Inilah yang menentukan bakal pemenang kerusi Kimanis.

Dan berdasarkan pengamatan dan risikan Suara Merdeka, BN ada sedikit kelebihan dalam persaingan Kimanis. Isu penafian terhadap PSS cenderung memihak pembangkang.

Warisan sebaliknya, ada hujahnya – iaitu dengan permit PSS akan memudahkan kerajaan negeri mengawal lambakan dan kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) secara sistematik.

Namun rakyat Sabah kelihatan tidak cenderung `ke situ’ kerana mengaitkannya dengan `pengiktirafan’ kepada PTI.

PSS kata mereka begitu menyentuh isu emosi dan sentimen serta untung nasib penduduk tempatan. Kepada orang Sabah, PTI mendominasi dan merampas hak-hak mereka. Ia ibarat `duri dalam daging’ – akan menjejaskan lagi keseimbangan demografi.

Kalah Warisan di Kimanis akan menjadi satu pukulan kepada PH dan memberi tekanan lagi kepada Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini lebih-lebih lagi terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang orientasinya kepada perjuangan kaum Melayu dan Bumiputera, setelah terlepas dua kerusi di Semenyih dan Tanjung Piai tempoh hari.

Buat Mohd. Shafie, kekalahan akan menjejaskan reputasinya kerana Kimanis kerusi Parlimen pertama cabaran Warisan. Sedikit sebanyak ia mencetuskan keraguan terhadap reputasi kepimpinannya.

Kemenangan BN pula akan memberi kemenangan moral kepada mereka.

Apa pun, siapa menang atau kalah di Kimanis tidak akan mengubah kepimpinan kerajaan negeri Sabah hari ini.

Pengundian esok sekadar untuk mengisi kekosongan ahli parlimen yang mampu memberi khidmat yang berkesan untuk penduduk Kimanis – yang masih banyak lompang pengisian pembangunan dan kemajuannya.

Siapa pemilik kerusi Kimanis? `Wa’ (Wow) risan atau ‘Ba’ risan?
– SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button