pilihanPolitik

Mohd. Rafiq umum keluar Bersatu serta merta

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen hari ini meletakan semua jawatan yang disandang dan mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya, surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi PN Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu cawangan Cheng telah dihantar kepada Muhyiddin beberapa hari lepas.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan tersebut selepas kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti itu tidak mencalonkannya bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Sebaliknya katanya, beliau ditawarkan bertanding di tiga tempat termasuk di Parlimen Bagan Datuk yang ditandingi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dihubungi Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalanya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beberapa hari lepas memaklumkan nama saya tidak dicalonkan bertanding di Tangga Batu.


“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Tangga Batu selama lebih enam tahun tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

“Yang jelas struktur parti dalam Bersatu tidak lagi dihormati, sepatutnya pemegang jawatan dalam parti seperti Naib Presiden dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.

“Saya juga mengumumkan pemberhentian saya sebagai Ahli Bersatu Seumur Hidup juga berkuatkuasa serta merta,” ujarnya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Pantai Puteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Rafiq berkata, keputusan yang diambilnya selepas memikirkan secara mendalam dan hasil perbincangannya dalam kalangan ahli parti di kawasan tersebut.

Menurutnya, beliau turut menafikan akan bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas.

“Buat masa ini saya tidak berminat untuk menjadi calon walaupun ditawarkan oleh mana-mana parti untuk bertanding di PRU15,” ujarnya.

Sebaliknya kata Mohd. Rafiq, beliau akan bergerak melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus membantu rakyat di Tangga Batu.

Jelasnya, setakat ini hanya beliau sahaja yang keluar dari Bersatu dan sebarang keputusan dalam kalangan ahli parti ingin terus kekal adalah terpulang kepada mereka. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button